Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jumlah besar yang tidak dibayar semula kepada kerajaan itu merupakan ‘harga’ untuk menyediakan pendidikan terbaik kepada anak muda negara, sekali gus memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

Katanya, masyarakat perlu belajar dengan rakyat Jepun yang merupakan teladan terbaik apabila melibatkan kerajinan dan menjadi warganegara yang berjaya di samping sering kali berasa malu sekiranya gagal dalam sesuatu perkara.

“Sesetengah rakyat Malaysia pula hanya berasa malu apabila berpakaian teruk atau pun ditangkap mencuri,” katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia seperti dipetik The Star Online di sini malam ini.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya berjanji untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam bergaji di bawah RM4,000 sebulan dan mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.

Namun begitu, pada 31 Mei lalu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji berkenaan.

Baru-baru ini, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan pula menggalakkan semua peminjam yang sepatutnya membuat bayaran balik dan masih mempunyai baki hutang PTPTN supaya mengemas kini maklumat pendapatan peminjam dalam usaha melaksanakan janji itu.

Hal tersebut susulan daripada ‘pembebasan’ 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen pada 26 Jun lalu.