Home PolitikPakatan Harapan Pemilihan PKR mesti dijalankan dalam suasana adik-beradik – Rafizi

Pemilihan PKR mesti dijalankan dalam suasana adik-beradik – Rafizi

by Air Times News Network

SEREMBAN, 12 Ogos – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan kekal bersatu jika semua calon yang bertanding termasuk di peringkat cabang dalam pemilihan kali ini bersaing dengan ikhlas dan tidak berdendam.

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pertandingan itu mesti dijalankan dalam suasana adik-beradik dan kasih sayang.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, ramai calon telah menawarkan diri bertanding di peringkat cabang termasuk di negeri ini.

Katanya, ia merupakan petanda yang baik dalam demokrasi namun mereka yang kalah harus kekal bersatu demi memastikan parti terus kukuh.

“Dalam pemilihan lepas, tidak ramai yang bertanding peringkat cabang di Negeri Sembilan kerana kita belum menang tetapi hari ini kita sudah menang maka ramai yang bertanding.

“Menang kalah berapa penjuru sekalipun, lepas ini kita akan berpeluk balik kerana kita tidak terluka. Yang jadi masalah kalau bertanding secara kasar, potong-memotong dan guna wang kita akan terluka,” katanya pada sesi debat dalam program Penerangan Reformasi 20 tahun di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Sementara itu, Fuziah yang merupakan calon Ketua Wanita PKR berharap dapat membina wanita progresif dan menarik ramai wanita muda serta profesional dengan melatih mereka agar hasrat 30 peratus penyertaan wanita di semua peringkat pembuat dasar dan keputusan, dapat dizahirkan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!