PUTRAJAYA, 31 Jul – Pasukan penyiasat keselamatan pesawat MH370 tidak menolak kemungkinan campur tangan ‘pihak ketiga’ dalam misteri kehilangan pesawat terbabit, hingga menyebabkan penerbangannya tersasar daripada laluan asal, termasuk berpatah balik ketika di ruang udara antara Vietnam dan Malaysia pada 8 Mac 2014.
Ketua Pasukan Penyiasatan Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon, bagaimanapun berkata pengesahan berhubung perbuatan itu tidak dapat dibuat tanpa pemeriksaan terhadap data penerbangan dan bangkai pesawat, selain tidak dapat memastikan siapa yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, kekurangan bahan bukti fizikal yang mencukupi juga menyumbang kepada kegagalan pasukan penyiasatan yang diketuainya dalam menentukan punca sistem pengesanan pesawat itu tiba-tiba dinyah aktifkan, selain corak penerbangan yang tidak mengikut pelan asal.
“Oleh kerana kekurangan bukti, kemungkinan wujud campur tangan ‘pihak ketiga’ tidak boleh ditolak sama sekali,” katanya pada taklimat media mengenai Laporan Siasatan Keselamatan oleh Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 ICAO Malaysia bagi MH370 setebal 449 halaman yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Soo Chon berkata, siasatan pihaknya menemui kepincangan dalam tatacara pemindahan tanggungjawab menyelia penerbangan MH370 oleh pegawai kawalan trafik udara (ATC) Kuala Lumpur (KL) dan Ho Chi Minh (HCM) pada hari kejadian.
Katanya, rekod mendapati ATC KL tidak meneruskan sebarang komunikasi dengan juruterbang MH370 kerana berpendapat sudah menyerahkan tanggungjawab kepada ATC HCM untuk kekal berhubung dengan pesawat berkenaan selepas titik ‘Igari’ pada jam 1.22 pagi (waktu antarabangsa).
“Bagaimanapun, juruterbang (Kapten Zaharie Ahmad Shah) tidak menghubungi HCM atas alasan yang tidak diketahui untuk melaporkan kedudukan semasa pesawat.
“Keadaan bertambah buruk apabila tiada komunikasi antara ATC KL dan HCM bagi meneruskan pemantauan terhadap penerbangan MH370.
“Berdasarkan rekod, wujud sela masa selama 17 minit iaitu mulai jam 1.22 hingga 1.39 pagi, yang menyaksikan MH370 terbang tanpa sebarang pemantauan mana-mana pihak, sekali gus menyumbang kepada faktor kelewatan usaha mencari dan menyelamat diaktifkan pada hari kejadian.
“Dalam sela masa 17 minit itu, pesawat Boeing 777-200ER ini yang mempunyai keupayaan terbang pada kelajuan tinggi boleh berada di mana saja, malah ia dibuktikan apabila data satelit mendapati kapal terbang berkenaan berada di selatan Pulau Pinang pada jam 1.52 pagi,” katanya.
Hasil siasatan dalam laporan itu juga mengesahkan, Zaharie dan pembantunya atau pegawai pertama, Fariq Ab Hamid, tidak mempunyai sebarang isu kesihatan dan dibebani tekanan kewangan ketika hari kejadian.
Malah, pemeriksaan turut mendapati semua 12 kru penerbangan disahkan sihat untuk melaksanakan tugas dan berada dalam lingkungan had kerja, selain mendapat rehat yang mencukupi.
Penelitian lanjut menunjukkan semua kru penerbangan MH370 tidak membuat sebarang pembelian perlindungan insurans tambahan atau secara tiba-tiba yang berupaya mengundang keraguan dan spekulasi mengenai kemungkinan wujud gerakan terancang bermotifkan peribadi.
Selain Zaharie yang mengambil analgesik mengikut keperluan susulan mengalami kecederaan tulang belakang pada 28 Januari 2007, rekod perubatan dilampirkan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), kini Malaysia Airlines Berhad (MAB) mengesahkan semua kru kabin tiada isu kesihatan luar biasa.
Penerbangan pesawat B777-200ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam dan dijadualkan tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, hari yang sama.
Ia hilang daripada pemantauan radar awam Malaysia pada jam 1.30 pagi ketika mendekati sempadan ruang udara Vietnam, namun tiada komunikasi antara pesawat dengan ATC Vietnam selepas itu.
Komunikasi terakhir yang dirakamkan pada jam 1.19 pagi oleh Zaharie ialah ‘Goodnight Malaysian 370.’
Menjengah tempoh empat tahun, pesawat membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 kru itu masih gagal ditemui walaupun misi mencari dan menyelamat MH370 dilaksanakan pada skala besar-besaran di selatan Lautan Hindi, membabitkan lebih 25 negara yang tampil menyalurkan bantuan serta kepakaran.