Home Semasa 4 pertuduhan untuk Najib Razak

4 pertuduhan untuk Najib Razak

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta menjadi tumpuan pada pagi ini apabila bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah didakwa berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi beliau dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Beliau didakwa dengan 4 pertuduhan yang terdiri daripada 3 pertuduhan melibatkan pecah amanah (pemindahan wang) dan 1 pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas keempat-empat pertuduhan terhadap Najib, 65, dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

Mengikut pertuduhan pertama, Najib sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia telah menggunakan jawatan untuk suapan berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit bagi pihak negara bagi memberikan jaminan kerajaan untuk pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn. Bhd.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012 di pejabat Perdana Menteri Presint 1 Putrajaya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh hukum Seksyen 24 akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, beliau sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia dan Advisor Emeritus SRC International Sdn. Bhd., dan dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad Banggunan Ambank Group No. 55, Jalan Raja Chulan, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Bagi kesalahan itu Najib didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia dan Advisor Emeritus SRC International Sdn. Bhd., dan dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad Banggunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan antara 24 Disember hingga 29 Disember 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan keempat, Najib sebagai jawatan sama dalam kapasiti yang sama diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM10 juta ditempat sama antara 10 Februari hingga 2 Mac 2015.

Barisan pihak pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas dan 11 Timbalan Pendakwa Raya.

Mereka adalah Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria; Manoj Kurup; Datuk Suhaimi Ibrahim; Datuk Umar Saifuddin Jaafar; Datuk Ishak Mohd. Yusoff; Donald Joseph Franklin; Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; Budiman Lutfi Mohamed; Sulaiman Kho Kheng Fuei; Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Pasukan peguam bela Najib pula Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah; Harvinderjit Singh; Datuk Raj Krishnan; Farhan Read; Rahmat Hazlan; Muhamad Farhan Muhamad Shafee dan Syahirah Hanapiah.

Datuk Seri Najib telah tiba di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 08.20 pagi.

Kehadiran beliau yang berpakaian sut biru telah disambut oleh para penyokong telah berkumpul di kompleks mahkamah semenjak awal pagi.

Sejurus tiba, Najib terus dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Jenayah 2 untuk sebutan kes di bawah kawalan ketat pihak polis.

 

Related Articles

Leave a Reply