Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Marin berjaya halang warga asing seludup keluar sempadan

Polis Marin berjaya halang warga asing seludup keluar sempadan

by M.Daim

TAWAU, 1 Julai –  Tindakan nekad 18 warga asing yang sanggup menaiki sebuah bot laju hitam tanpa lampu untuk bergerak di laut pada waktu malam berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau pada 29 Jun lalu.

Tahanan melibatkan tiga lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan yang berumur antara empat hingga 47 tahun. Pegawai Pemerintah PPM Tawau DSP Mohd Nazri Ibrahim berkata, kesemua tahanan ditangkap selepas bot laju yang mereka naiki terlanggar tiang rumah sebelum terhenti.

“Bertindak atas maklumat penyeludupan migran, Unit Risikan Marin PPM Tawau dengan kekuatan seorang pegawai kanan dan lima anggota membuat pemantauan di laut Batu 4.

“Pemantauan dijalankan pada kira-kira jam 10.30 malam, Jumaat, menggunakan bot samaran sebelum terserempak bot laju mencurigakan itu,” katanya.

Nazri berkata, bot laju terbabit disyaki bergerak masuk ke perairan negara dari arah Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik, Kalimantan Utara menghala ke daerah Tawau.

Menurutnya, bot laju terbabit memecut laju semasa hendak ditahan dan cuba melarikan diri dengan memasuki kawasan penempatan atas air di kawasan Batu 4 Jalan Apas.

“Selepas bot itu terlanggar tiang rumah dan terhenti, kelihatan beberapa orang cuba melarikan diri dengan terjun ke laut, dan hasil pemeriksaan menemukan 18 penumpang.

“Kesemua penumpang terbabit didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah menyebabkan mereka dibawa bersama bot laju ke Pangkalan PPM Tawau,” katanya.

Beliau berkata bot laju berwarna hitam dengan kekuatan enjin berkapasiti 200 kuasa kuda yang dinaiki oleh kesemua warga asing terbabit turut ditahan untuk tindakan susulan.

Mengulas lanjut, siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri untuk berada di negara ini.

Related Articles

Leave a Reply