Home Semasa Dua ditahan berhubung kes menyamar pegawai SPRM, minta suapan RM 1 juta

Dua ditahan berhubung kes menyamar pegawai SPRM, minta suapan RM 1 juta

by Pasri Asyraf

PUTRAJAYA, 28 Jun 18  Dua individu direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta suapan untuk menyelesaikan kes rasuah.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman SPRM mulai hari ini sehingga 1 Julai nanti.

Semalam, SPRM telah menahan kedua-dua suspek terbabit kira-kira pukul 5.30 petang dan 10.15 malam.

Kedua-dua suspek yang berusia 37 dan 38 tahun itu ditahan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dikatakan telah meminta wang suapan sebanyak RM1 juta daripada seorang lelaki yang didakwa mempunyai kes membabitkan SPRM.

Ujarnya, kedua-dua suspek juga dikatakan turut menggunakan surat rasmi kerajaan yang diperoleh daripada internet bagi menyakinkan mangsa.

“Mangsa yang percaya, seterusnya bersetuju untuk bertemu kedua-dua suspek bagi membincangkan mengenai kes tersebut.

“Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar apabila mangsa menyedari dirinya tidak mempunyai sebarang kesalahan membabitkan rasuah,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, susulan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM50,000 daripada seorang suspek dan dua telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” ujar sumber terbabit lagi.

Related Articles

Leave a Reply