Home Semasa Jangan cabar Perlembagaan Persekutuan – Dr Ahmad Zaharuddin

Jangan cabar Perlembagaan Persekutuan – Dr Ahmad Zaharuddin

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 26 Jun – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian itu dalam bahasa Mandarin mengundang kecaman ramai pencinta bahasa.

Pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir (IPDM), Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, meskipun kenyataan rasmi dalam bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris turut dikeluarkan, ia tetap tidak rasional.

Ini kerana katanya, perbuatan itu boleh menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selain menghina perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

“Keputusan itu bercanggah dengan aspirasi rakyat Malaysia yang sepatutnya memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Apatah lagi meletakkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa lain, ini satu penghinaan,” katanya.

Menurutnya, Guan Eng seolah-olah lupa dengan pendiriannya sebelum ini yang menyatakan ‘I am not Chinese, I am Malaysian’ di awal pelantikan beliau.

“Di negara yang ada kepelbagaian bangsa seperti Amerika Syarikat sekalipun, kenyataan rasmi pegawai tinggi kerajaan dikeluarkan dalam bahasa rasmi negara sahaja. Mana-mana pegawai tinggi kerajaan, yang bertindak atas kapasiti kerajaan yang sengaja memilih untuk tidak mematuhi Dasar Bahasa Kebangsaan, sudah pasti tindakan itu tidak boleh diterima,” katanya.

Dr Ahmad Zaharuddin berkata, bahasa melambangkan bagaimana sesuatu bangsa itu menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami antara satu sama lain.

“Kekuatan bahasa itu juga menunjukkan betapa kuatnya sesuatu bangsa itu. Ketika menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (5 Ogos 1957), Raja-Raja Melayu menetapkan tujuh wasiat, antaranya, menetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukan Kementerian Kewangan seperti mencabar Perlembagaan Persekutuan bawah artikel 161 dan artikel 152 yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekali gus bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.

“Walaupun Perlembagaan Persekutuan 1957 telah menjamin kedaulatan dan autoritatif bahasa kebangsaan, namun kewujudan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) adalah bertujuan memastikan bahasa kebangsaan diimplementasikan secara holistik dalam kehidupan rakyat dan pemerintahan negara,” katanya.

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk menguasai bahasa Melayu terutama penjawat awam yang merupakan barisan hadapan kerajaan.

“Bahasa yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan tidak wajar dijadikan sekadar hiasan.

“Kementerian Kewangan harus ingat maruah bangsa terletak pada bahasanya. Setiap warganegara mesti menguasai bahasa kebangsaan bagi memastikan maruah bangsa dalam Perlembagaan terpelihara,” katanya.

Dr Ahmad Zaharuddin turut mengingatkan, jangan hanya kerana segelintir permintaan kita sanggup mengorbankan bahasa.

Guan Eng kelmarin mempertahankan keputusannya dengan menegaskan, Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan ia dibuktikan menerusi laman web rasmi kementerian itu.

Menurutnya, kenyataan rasmi bahasa Melayu akan diterjemah kepada bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan terjemahan ke bahasa Mandarin sekiranya ada keperluan.

Related Articles

Leave a Reply