Home Semasa Kumpul bukti secukupnya sebelum dakwa Najib – Tun M

Kumpul bukti secukupnya sebelum dakwa Najib – Tun M

by M.Daim

Tokyo, 11 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bukti masih dikumpul untuk mendakwa bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak.

“Ramai yang menantikan beliau (Najib) untuk ditangkap, tetapi kita perlu kumpulkan bahan bukti untuk mendakwa beliau di mahkamah,” kata Tun Dr Mahathir.

“Kalau kita gagal berbuat demikian, keputusan mahkamah akan memihak kepada Najib,” tegas Tun Dr Mahathir.

Beliau memberi amaran sekiranya Najib menang kerana pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti yang mencukupi, ramai pihak akan memberikan persepsi negatif kepada kerajaan sekarang termasuklah dari pengundi yang memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa majlis makan malam bersama komuniti rakyat Malaysia di Jepun.

Majlis tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti beliau semasa lawatan kerja 3 hari ke Jepun. Beliau   berada di Jepun khusus untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 mulai hari ini hingga 12 Jun, diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan para pegawai Kementerian Luar.

Tun Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai pengaruh dalam sistem kehakiman negara kerana pihak kerajaan adalah dipilih secara demokrasi dan pilihan rakyat wajar dihormati.

“Kita mesti memahami undang-undang dan prosedur negara demokrasi dimana bidang kuasa negara adalah terbahagi kepada bidang kuasa Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.”

“Jamal Tongkol pun hilangkan diri (lari), jadi kita tidak tahu siapa lagi seterusnya nak lari,” Tun Mahathir berseloroh mengenai kehilangan Datuk Seri Jamal Yunos.

“Sebelum individu lain cuba lari, kerajaan boleh menggunakan undang-undang negara yang sedia ada untuk menghukum mereka yang melanggar undang-undang,” ujar Tun Dr Mahathir.

 

 

Related Articles

Leave a Reply