Home SemasaGlobal China alih peluru berpandu pertahanan udara di Laut China Selatan

China alih peluru berpandu pertahanan udara di Laut China Selatan

by M.Daim

BEIJING, 8 Jun – China dilaporkan telah mengalihkan peluru berpandu anti pesawat (Surface-to-Air Missile, SAM) dari Pulau Woody, di kawasan Kepulauan Paracel.  Perkara tersebut dilaporkan oleh media China dan laporan tersebut turut disokong oleh imej satelit yang dikeluarkan oleh ImageSat International.

Imej bertarikh 3 Jun 2018 lalu menunjukkan ketiadaan SAM di kawasan pesisir pulau tersebut.

Imej satelit yang dikeluarkan oleh ImageSat International yang bertarikh 3 Jun 2018 menunjukkan ketiadaan peluru berpandu HQ-9 di kawasan pantai Pulau Woody.

South China Morning Post memetik kenyataan pakar maritim, Li Jie yang menyifatkan ianya bukan pertama untuk China mengalihkan peluru berpandu tersebut. Beliau menyatakan kemungkinan sistem SAM, HQ-9 tersebut dialihkan untuk sementara waktu bagi tujuan selenggaraan berjadual.

Li Jie menambah, faktor cuaca dan persekitaran kawasan operasi maritim adalah antara faktor menyebabkan sistem peluru berpandu HQ-9 tersebut perlu diselenggara. Menurut beliau, kali terakhir sistem tersebut dialihkan adalah pada tahun 2016 lalu.

Ketiadaan sistem peluru berpandu pertahanan udara HQ-9 bukanlah sesuatu yang baharu, menurut seorang pakar maritim di Beijing.

HQ-9 atau Hong-Qi-9 merupakan sistem peluru berpandu jarak sederhana keluaran China dan dikatakan setanding dengan sistem peluru berpandu pertahanan udara Rusia, S-300V . Kehadiran sistem peluru berpandu tersebut kali pertama diketahui umum selepas Taiwan mendedahkan aktiviti ketenteraan China di kawasan itu pada tahun 2016.

BBC pada ketika itu melaporkan tindakan China menempatkan sistem tersebut yang mengancam pesawat tentera dan awam dari Vietnam dan Filipina. Tindakan agresif China pada ketika itu turut mendapat kritikan dari Jepun dan Amerika Syarikat.

HQ-9 mempunyai jarak tembakan sejauh 200 kilometer. pada ketika ini, Algeria, Pakistan dan Turkmenistan merupakan negara-negara pengguna sistem ini selain daripada China.

Woody Island merupakan sebuah pulau yang mempunyai keluasan sekitar 2.6 kilometer persegi dan salah satu daripada pulau di wilayah tuntutan bertindih di Kepulauan Paracel.

Kepulauan Paracel dan Gugusan Kepulauan Spratlys merupakan antara isu utama di Laut China Selatan dan menjadi rebutan antara China dengan negara-negara serantau.

 

Related Articles

Leave a Reply