MELAKA, 12 Mei – Seramai 63 orang anggota Tentera Darat yang terdiri daripada 4 orang pegawai dan 59 orang lain-lain pangkat telah berjaya menamatkan Kursus Asas Komando. Beret Hijau kebanggaan Tentera Darat Malaysia telah disampaikan kesemua pelatih yang berjaya mengharungi perit selama 3 bulan.

Seramai 63 anak muda yang terdiri daripada 59 orang anggota Lain-lain pangkat (LLP) dan 4 orang pegawai lulus Kursus Asas Komando 1/2018. Foto: Air Times
Penganugerahan beret telah disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Hj Mazlan bin Md Shahlan, Komander National Special Operation Forces (NSOF).

Gasak! Antara aksi demonstrasi tempur tanpa senjata yang dipamerkan kepada umum. Foto: Air Times
Turut hadir, Mejar Jeneral Datuk Hassan Bin Ali; Pengerusi Gerak Khas dan Panglima 21 Grup Gerak Khas (GGK), Brigedier Jeneral Datuk Jamaludinbin Jambi; Ketua Staf Am 21GGK, Kolonel Adi Ridzwan Bin Abdullah; Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus.

Beberapa demonstrasi yang diadakan melibatkan penggunaan peluru hidup. Foto: Air Times
Selain penganugerahan beret, pameran statik turut diadakan dan beberapa demonstrasi keupayaan telah diadakan kepada yang hadir termasuk ahli keluarga pelatih dan veteran komando. Demonstrasi ini turut melibatkan sebuah helikopter Nuri dari 882 Skuadron dan 2 buah helikopter AW109 LOH dari 881 Skuadron.

Unit Lawan Keganasan (11ULK) turut mempamerkan kemahiran penggunaan senjata tempur. Foto: Air Times
Antara demonstrasi yang dipersembahkan adalah Demonstrasi Serangan Pantai, Demonstrasi IPSC, Tempur Tanpa Senjata, dan Demonstrasi Ronda Kumpulan Kecil, Demonstrasi Skuadron Lawan Keganasan (11ULK) dan Pertunjukan Payung Terjun.