KANGAR, 5 Apr – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) menyifatkan Pelan Induk Perumahan yang dilancarkan oleh Kementerian Pertahanan sebagai tepat bagi menghargai jasa selain menjaga kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presidennya Ismail Abidin berkata, PVATTBM telah lama memperjuangkan isu itu kerana ramai warga dan veteran ATM belum berupaya memiliki rumah sendiri.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein semasa melancarkan pelan induk itu di Port Dickson semalam antaranya berkata pelan itu melibatkan pembinaan rumah dalam lima program yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 warga dan veteran ATM serta keluarga mereka.
Ismail berharap projek tersebut dilaksanakan secara menyeluruh di semua negeri.
Dalam perkembangan lain beliau merayu kerajaan menimbang untuk mengeluarkan segera wang Bantuan Bakti Negara (BBN) kepada veteran-veteran ATM yang belum mendapatnya.- Bernama