Kuala Lumpur, 24 Feb – Pertandingan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) 2018 melabuhkan tirainya pada semalam setelah berlangsung semenjak 19 Februari lalu. Sorakan dan sokongan memenuhi Kem Perdana, Sungai Besi oleh anggota Tentera Darat yang hadir menyaksikan pertandingan tersebut pada hari terakhir.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim hadir menyaksikan pertandingan ini.
Ujian tahunan ini diadakan bagi membina ketahanan mental dan fizikal, keyakinan diri dan juga berpasukan. Selain daripada itu, UKMHK turut menjadi platform untuk emupuk disiplin serta perpaduan di kalangan individu dan kumpulan.
Aspek pemerintahan dan kawalan anggota turut diuji terutamanya dalam keadaan yang mencabar di mana daya ketahanan fizikal setiap peserta diuji semaksimum yang mungkin.
Pertandingan ini turut mendedahkan anggota terhadap daya ikhtiar dan inisiatif sendiri bagi mengatasi dan merentasi pelbagai halangan. Selain daripada itu, pertandingan ini turut bertujuan untuk meningkatkan keupayaan menembak sesuai dengan situasi simulasi perperangan.
Penyertaan dan Fasa Pertandingan
Seramai 10 orang pergawai dan 880 anggota lain-lain pangkat dari 10 formasi dari seluruh negara telah terlibat dalam pertandingan tahunan yang berlangsung selama 5 hari di Kem Perdana.
Ujian Berkawad adalah medan ujian kekemasan dan kelengkapan pakaian serta senjata. Selain daripada itu, prestasi ketua perbarisan dalam memberikan arahan dan hukuman turut dinilai.
Ujian Merentas Halangan pula merangkumi empat peringkat ujian iaitu pemeriksaan awal bagi menentukan peserta mematuhi keperluan ujian dan membawa peralatan, kelengkapan dan pakaian yang betul. Kemudian, peserta diuji dengan larian merentas pelbagai halangan dan kemudiannya menembak sasaran pada jarak 25 meter.
Peringkat terakhir pula melibatkan pemeriksaan akhir pakaian, kelengkapan dan peralatan yang dibawa pada akhir pusingan.
Kategori dan Keputusan.
Pelbagai kategori dipertandingkan termasuklah Kategori Pasukan Tempur, Kategori Pasukan Bantuan Tempur, Kategori Pasukan Bantuan Khidmat, dan Kategori Pasukan Wanita. Untuk Kategori Wanita, sebanyak 10 pasukan anggota pranita hadir untuk bertanding.
Dalam majlis penutup yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Hj Kassim , Formasi 1 Div telah dinobatkan sebagai juara UKMHK 2018 bagi Kategori Pasukan Tempur manakala juara bagi Kategori Pasukan Bantuan Tempur dirangkul oleh Formasi 4 Div.Â
Juara Kategori Pasukan Bantuan Khidmat pula diungguli oleh Formasi Trup TD 1 manakala juara Kategori Wanita disandang oleh Formasi 4 Div.
Selain daripada itu juga Trup TD 1 telah dijulang sebagai juara keseluruhan UKMHK Peringkat Tentera Darat Tahun 2018.
Leftenan Muda Wan Anas Wafiy Bin Wan Abdullah dinobatkan sebagai Ketua Platun Lelaki Terbaik manakala Ketua Platun Wanita Terbaik dirangkul oleh Kapten Noor Fahizah Binti Hairi.
Dalam ucapan penutup UKMHK , Panglima Tentera Darat menyatakan bahawa pertandingan ini menuntut daya usaha serta kewibawaan yang tinggi samada dari kalangan peserta itu sendiri mahupun di pihak pengurusannya. Ini kerana pertandingan seumpama ini memerlukan perancangan yang terperinci dan keupayaan mengolah strategi serta cara laksana yang luar dari praktis biasa.
Beliau turut menjelaskan kekalahan dalam pertandingan ini bukanlah bererti pasukan tersebut tidak gagah mahupun kurang hebat. Kemungkinan ia akibat daripada satu strategi yang kurang tepat ataupun pelaksanaannya yang kurang berkesan.
Namun begitu, beliau menekankan semangat setia kawan, kerjasama yang tinggi, semangat ingin berlawan dan kesungguhan untuk menang yang dipamerkan oleh setiap peserta adalah penting.
Turut hadir ke majlis penutupan ini ialah Timbalan Panglima Tentera Darat; Leftenan Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah, Panglima-panglima Medan, Ketua Staf Tentera Darat, Panglima-panglima Formasi dan Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat.