Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia ketuai operasi rondaan udara tiga negara

Malaysia ketuai operasi rondaan udara tiga negara

by Air Times News Network

TAWAU, 8 Okt – Malaysia hari ini mengetuai operasi rondaan udara bersama, Trilateral Air Patrol (TAP) dengan Filipina dan Indonesia dalam usaha mengekang ancaman kumpulan pengganas di rantau ini, kata Pengarah Maritim Command Centre (MCC) Kepten P Pulendran daripada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Beliau berkata rondaan yang diadakan dua kali sebulan itu akan memantau situasi semasa di perairan Laut Sulu sekali gus meningkatkan sistem kesedaran domain tiga negara terlibat.

“Namun, rondaan udara hari ini tidak disertai Indonesia atas faktor tertentu.

“Diharapkan rondaan secara bersama ini dapat memperbaiki situasi keselamatan di perairan Laut Sulu serta mengekang sebarang unsur pengganas termasuk aktiviti rompakan di laut serta penculikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat bersama wakil Tentera Udara Filipina Lt Kol Acmad Omar daripada Mejar Zulhilmi Zainuddin selaku juruterbang pesawat C130H yang membuat rondaan bermula dari Tawau.

Pulendran berkata rondaan ruang udara itu dilaksanakan secara bergilir setiap bulan dengan setiap rondaan disertai wakil Malaysia, Indonesia dan Filipina yang melibatkan pemantauan udara seluas 17,000 batu nautika dengan lapan koridor transit merangkumi perairan ketiga-tiga negara.

Dalam pada itu, menurut Pulendran segala maklumat pemantauan udara akan disalurkan kepada MCC yang turut bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Joint Regional Command Centre (JRCC) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) untuk menyelaras maklumat.

“Daripada maklumat ini kita akan arah segera kapal-kapal di perairan dan bot-bot sama ada di pos kawalan atau pangkalan operasi hadapan untuk melakukan pintasan atau menyiasat,” katanya.

Pulendran berkata rondaan udara itu merupakan kesinambungan daripada rondaan laut bersama Malaysia, Filipina dan Indonesia, Trilateral Maritim Patrol (TMP) yang dilakukan pada 19 Jun lepas dengan TLDM melaksanakan rondaan di perairan Tambisan.

Selepas TMP, Malaysia, Filipina dan Indonesia sekali lagi mencapai persetujuan melaksanakan TAP iaitu rondaan udara bersama sebagai usaha memperkasakan pengawasan keselamatan serta kesiapsiagaan ruang udara dan maritim di Laut Sulu daripada pergerakan ekstremis pengganas yang merentasi sempadan tiga negara. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply