Home PolitikBarisan Nasional Program semarak rakyat bersama Esscom berjaya wujud jaringan keselamatan

Program semarak rakyat bersama Esscom berjaya wujud jaringan keselamatan

by Air Times News Network

SEMPORNA, 18 Okt – Program semarak rakyat bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berjaya mewujudkan jaringan kerjasama antara pasukan keselamatan dan komuniti dalam aspek menyalurkan maklumat keselamatan.

Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata program itu mencapai matlamat apabila komuniti di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) mulai sedar mengenai kebersamaan memikul tanggungjawab memastikan keselamatan serta menjana kesejahteraan di Esszone.

“Alhamdulillah konsep program dibawa Esscom ini menerima maklum balas baik daripada masyarakat yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada Esscom yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program semarak rakyat bersama Esscom itu yang disempurnakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, di sini, hari ini.

Jelajah program yang bermula di Lahad Datu, Sandakan, Kunak dan berakhir di Semporna itu turut melibatkan agensi kerajaan dan swasta termasuk Angkatan Pertahanan Awam serta bomba.

Justeru, Hazani berkata konsep program yang menghubung dan menyatukan masyarakat bersama pasukan keselamatan itu bakal dilaksanakan di daerah lain termasuk Kudat, Beluran, Pitas dan Kinabatangan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Nasir berkata program tersebut membolehkan masyarakat mendapat pendedahan mengenai tahap kesiapsiagaan Esscom dalam mempertahankan kedaulatan pantai timur Sabah daripada unsur keganasan yang didalangi kumpulan pengganas.

Katanya tanpa disedari masyarakat selama ini, pasukan keselamatan mengambil pelbagai langkah penguatkuasaan undang-undang dalam mencegah kes penculikan serta rompakan di laut termasuk memperkukuh serta menambah kekuatan keanggotaan pasukan itu yang ditempatkan di pulau-pulau strategik di Esszone.

Antara langkah diambil Esscom, katanya termasuk mempergiatkan pelbagai operasi khas di laut seperti Op Gasak Laut, di samping mempertingkat elemen mempamerkan kekuatan pasukan keselamatan terutamanya di kawasan disyaki menjadi laluan dan tempat persembunyian penjenayah rentas sempadan.

Beliau berkata bagi memastikan setiap langkah diambil Esscom itu berkesan, masyarakat juga perlu menjadi ‘mata dan telinga’ pasukan keselamatan berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply