Home Pertahanan dan Keselamatan Rampasan bom, peluru tiada kaitan militan

Rampasan bom, peluru tiada kaitan militan

by Air Times News Network

BOTA, 5 Okt – Rampasan sebutir bom tangan dan 79 butir peluru hidup serbuan kes dadah di sebuah rumah di Kampung Kubang Chandong, Bota Kanan, di sini semalam tidak mempunyai kaitan dengan militan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata hasil siasatan lanjut terhadap suspek berusia 38 tahun yang ditahan bersama empat individu lain mengakui bahan letupan dan peluru itu milik bapa saudaranya.

“Suspek mengakui bom tangan dan peluru hidup yang ditemui itu milik bapa saudaranya yang juga bekas anggota tentera namun mendakwa ia disimpan hanya untuk suka-suka sahaja.

“Difahamkan, sebelum ini bapa saudara suspek tinggal di rumah berkenaan namun kini sudah tidak tinggal di situ dan kita masih mengesannya untuk membantu siasatan.

“Setakat ini kes itu tiada unsur militan namun kita akan menjalankan siasatan secara terperinci kerana ia turut membabitkan kes lain (dadah),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam serbuan jam 1.30 pagi semalam, polis menahan lima orang termasuk tiga beranak berusia antara 16 hingga 43 tahun dipercayai sedang menghisap dadah di rumah berkenaan.

Selain sebutir bom tangan dan 79 peluru hidup polis turut merampas 13 paket plastik lutsinar berisi hablur kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine, dua balang kaca yang diubah suai dipercayai untuk menghisap dadah dan pemetik api, alat penimbang digital dan satu plastik yang berisi plastik disyaki untuk membungkus dadah.

Related Articles

Leave a Reply