Home Sejarah #Sejarah: Skuadron 330 Pertahanan Udara TUDM

#Sejarah: Skuadron 330 Pertahanan Udara TUDM

by Air Times News Network

PENGENALAN

Bagi memenuhi kekosongan liputan pengawasan radar di Malaysia Timur, dua unit pertahanan udara telah ditubuhkan iaitu Skuadron 340 Bukit Kubong, Labuan dan Skuadron 330 Kota Samarahan, Kuching. Kewujudan skuadron ini berperanan sebagai unit Control and Reporting Centre (CRC) di dalam menjalankan tugas-tugas pengawasan ruang udara Malaysia Timur  demi menjaga kedaulatan negara.

Sejarah penubuhan skuadron pertahanan udara di Sarawak telah bermula pada tahun 2000. Pada peringkat awal penubuhan, penempatan sementara Skn 331 telah ditubuhkan di  Pangkalan Udara Kuching sebagai sebuah unit Control Reporting Post (CRP). Pada awal penubuhan, Mej Alias bin Hassan TUDM telah dilantik sebagai Ketua Tim pendahulu Skn 331 dan skuadron ini beroperasi menggunakan radar S605H yang diterima dari Skn 340 TUDM Bukit Kubong pada 20 Jan 2000.

Proses pemasangan radar telah dilaksanakan di Pangkalan Udara Kuching dan pada 27 Jan 2000 Skn 331 telah beroperasi secara rasminya. Semua pembaikan serta senggaraan peralatan keseluruhan sistem radar S605H telah diserah serta dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Bahagian Kejuruteraan, Tim Pendahuluan Skn 331, Pangkalan Udara Kuching.

Perkembangan teknologi merupakan aspek yang penting di dalam sistem pertahanan dan Skn 331 juga tidak terlepas dari program permodenan aset sistem pertahanan udara negara. Pada 12 Okt 2010, perkhidmatan sistem radar S605H telah ditamatkan secara rasminya dan sistem radar GM 403 telah mengantikan sistem tersebut. Penubuhan Sistem Pertahanan Udara Nasional (SPUN) dibawah RMK-9 telah memberi kesan yang positif kepada sistem pertahanan udara negara.

Melalui RMK-9, Kerajaan Malaysia telah meluluskan pelancaran Projek SOC 3, Kuching, Sarawak. Projek SOC 3 terdiri daripada 3 fasa merangkumi kompleks CRC, kawalan keselamatan, mess penempatan dan unit sokongan serta kompleks radar. Melalui Projek SOC 3, perolehan sistem Command & Control (C2) Sentry dan sebuah radar Ground Master 403 (GM 403) telah diperolehi melalui pembekal Thales Raytheon System (TRS) USA/FRA. Perolehan kedua – dua sistem telah ditandatangani pada 31 Jan 08 secara rundingan terus. Kedua-dua sistem C2 Sentry dan radar GM 403 berupaya untuk diintegrasikan dengan beberapa sensor radar TUDM, radar Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (JPAM), penerimaan data AFTN (JPAM), Cross Tell MARDIS Skn 340 Bukit Kubong dan Forward Tell ADOC 1 Kuala Lumpur. Dibawah projek ini juga, kerajaan telah meluluskan perolehan radio baru (Rohde & Schwars) melalui syarikat Pembekal Alaf Baru.

Selain itu, melalui RMK-9 pihak kerajaan telah meluluskan penyediaan talian data komunikasi radar dan Aerounautical Fixed Telecomunication Network (AFTN) dengan syarikat Telekom Malaysia Bhd. Permohonan dan pengambilan tanah dengan Kerajaan Negeri Sarawak untuk tapak infrastruktur bagi mendirikan Kompleks SOC 3 di Kota Samarahan dan Kompleks Radar TUDM di Gunung Ngili telah bermula pada 27 Mei 07 dan selesai dilaksanakan pada 30 Sep 09. Kontrak penyediaan  infrastruktur Fasa 1 telah dimeterai dengan Syarikat Wekajaya Sdn Bhd (WJSB) yang diberi tanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur Fasa 1 Kota Samarahan.

Pelbagai cabaran dan rintangan telah dilalui di dalam mendirikan kompleks radar di Gunung Ngili dan ini memaksa pihak TUDM membuat keputusan untuk meletakkan sementara radar GM403 di Kompleks SOC 3 Kota Samarahan. Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada keperluan operasi semasa yang mendesak dan pihak TUDM tidak lagi dapat menanggung kelewatan pengoperasian radar GM 403 ini.

Pada 17 Mei 12, Sistem SENTRY Command and Control (C2)  telah selamat tiba di banggunan Operasi SOC 3. Sistem SENTRY C2 ini merupakan set sistem  pembelian kali kedua dimana sistem asal SENTRY C2 ini telah dipasang kekal di Skn 320 PU Kuantan. Sistem SENTRY C2 yang terdapat di bangunan operasi Kompleks SOC 3 Kota Samarahan ini secara rasminya mula beroperasi sepenuhnya pada 20 Feb 13.

Selain itu, Intergrasi data radar, radio, AFTN dan peralatan komunikasi lain menjadikan sistem SENTRY C2 serba lengkap di dalam melaksanakan tugas-tugas pengawasan ruang udara Wilayah Udara Timur. Perolehan peralatan-peralatan yang baru membolehkan SENTRY C2 mengekalkan tahap serviceability 100 peratus dari mula beroperasi sehingga sekarang.  Keupayaan sistem SENTRY C2 dan peralatan sokongan yang ada membolehkan Skn 330 melaksanakan pemantauan di Kawasan Tanggungjawab serta mampu terlibat secara langsung sebagai unit Control Reporting Centre  (CRC) di dalam eksesais-eksesais  yang diadakan di Wilayah Udara II seperti Eksesais Angsa 2014 dan Eksesais PARADISE 2015.

VISI

Perpegang kepada visi skuadron iaitu ”Unggul Di Dalam Mengawas Dan Mengawal Ruang Angkasa” menjadi pemangkin semangat dan moral semua peringkat warga Skn 330 di dalam melaksanakan amanah yang diberi.

MISI

Selain itu, berbekalkan kepada misi skuadron iaitu ”melaksanakan pengawasan dan pengawalan ruang udara di dalam kawasan tanggungjawab dengan efektif melalui penggunaan kepakaran sumber manusia dan teknologi secara efisien”  sedikit sebanyak menjadi panduan kepada semua warga Skn 330  di dalam melaksanakan tugas.

Pada awal penubuhan Skn 330, pucuk pimpinan TUDM telah mengariskan peranan yang harus dimainkan oleh pihak Skn 330 berdasarkan kepada objektif-objektif tersebut:

  • Melaksanakan pengawasan dan pengenalan terhadap semua pesawat yang terbang dalam kawasan tanggungjawab.
  • Melaksanakan tindakan taktikal (TA) dan keputusan taktikal (TD) terhadap semua pencerobohan ruang angkasa.
  • Mencapai tahap operasi sistem radar dan C2 pada tahap 100%.
  • Mencapai tahap kopetensi yang maksima pada sebilang masa untuk semua peringkat anggota.
  • Memastikan moral anggota sentiasa tinggi melalui program work-life balance.

KEANGGOTAAN

 Skn 330 mula beroperasi pada 20 Feb 13, jumlah keanggotaan yang minima telah membataskan pengoperasian Skn 330 bagi mendokong tugas bagi melaksanakan pemantauan ruang udara Malaysia Timur.  Walaubagaimanapun, ianya bukanlah satu kekangan bagi Skn 330 untuk tidak melaksanakan amanah yang telah diberikan malah ianya telah dijadikan sebagai pembakar semangat untuk anggota lebih berjaya dalam menjalankan tugasan mengikut keanggotaan semasa.

Penambahan keanggotaan dilakukan secara berperingkat-peringkat. Sehingga kini kekuatan pegawai dan anggota telah membolehkan Skn 330 beroperasi bagi mencapai visi dan misi Skn 330.  Pemantauan dan pengawalan yang dilakukan sebilang masa membuktikan komitmen yang tinggi telah diberikan oleh pegawai dan anggota Skn 330.

Pada awal penempatan Skn 330 Kota Samarahan, segala urusan pentadbiran, senggaraan kejuruteraan dan operasi di tempatkan di bangunan operasi Fasa 1. Ia turut menempatkan Pejabat Pendaftaran, Pejabat Kejuruteraan dan Pejabat Operasi Skn. Kekuatan anggota Bahagian Operasi pada ketika itu adalah seramai 11 x Pegawai diketuai oleh Mej Mohd Nizam bin Mohammad TUDM sebegai Ketua Tim Pendahulu dan 17 x LLP. Sementara Bahagian Kejuruteraan pula adalah seramai 03 x Pegawai dan 35 x LLP. Walaupun penjawatan Skn 330 masih tidak diluluskan, pihak MTU BSM masih mampu untuk menampung keperluan anggota dari pelbagai bahagian di dalam memastikan keperluan operasi pada tahap maksimum.

Bermula dari tahun 2013, Skn 330 telah menerima kemasukkan anggota secara berperingkat-peringkat di dalam menampung keperluan semasa yang mendesak dan sehingga 1 Mei 16, Skn 330 telah memiliki seramai 183 anggota terdiri daripada pegawai dan LLP pelbagai peringkat dan kepakaran. Turut terlibat ialah 02 x anggota LLP dari ketukangan Bomba dan 03 x anggota LLP dari ketukangan Tadbir serta 03 x anggota P4 dari Tentera Darat yang ditumpangkan di Skn 330 untuk melaksanakan tugas tadbir urus sistem P4 skn. Penambahan anggota meliputi semua peringkat dan bahagian terus dilaksanakan sehingga ke hari ini bagi memenuhi keperluan sebagai sebuah unit mandiri pada masa akan datang.

 PENCAPAIAN

Kesungguhan di dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan telah membuahkan pencapaian yang cemerlang bagi Skn 330.   Pelbagai cabaran dihadapi bagi merealisasikan kejayaan Skn 330.  Ianya dapat dizahirkan dengan setiap Laporan Pengesanan Pesawat asing yang memasuki zon curiga bagi Wilayah Udara II.  Setiap pesawat yang di kesan memasuki zon curiga akan diambil tindakan oleh pegawai dan anggota yang bertugas sebilang masa di Skn 330.  Sepanjang penugasan Skn 330 dalam memantau ruang udara Wilayah Udara II, terdapat banyak pesawat yang telah memasuki zon curiga di Wilayah Udara II yang mana Skn 330 telah mengambil tindakan untuk memintas pesawat-pesawat tersebut dengan menggunakan pesawat pejuang yang berada di PU Labuan.

Selain daripada itu juga, Skn 330 telah terlibat secara langsung di dalam eksersais yang dirancang oleh TUDM sebagai sebuah unit operasi. Ini terbukti apabila Skn 330 telah memainkan peranan sebagai unit CRC di dalam eksersais seperti Eksersais Angsa 2014 yang di laksanakan di ruang udara Labuan dan Sabah. Eksersais ini melibatkan aset-aset TDM, TLDM  dan TUDM yang dikordinasikan oleh pihak pemerintahan ATM. Selain itu, Skn 330 juga terlibat secara aktif di dalam Eksersais PARADISE 2015 dimana eksersais ini bertujuan menguji keupayaan aset-aset tempur TUDM khasnya, keupayaan sistem Command and Control dan aset-aset sokongkan lain.

Sumber – TUDM

Related Articles

Leave a Reply