KUALA LUMPUR, 10 Mac – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan spesifik membatalkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Albukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Menerusi hantaran di media sosialnya, Ahli Parlimen Bagan itu menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan surat membuktikan beliau pernah mengeluarkan arahan pembatalan cukai tersebut.
“Sekiranya beliau gagal buat demikian, saya akan mendapatkan nasihat undang-undang terhadap pembohongan Muhyiddin yang berniat jahat ke atas saya, memandangkan ia juga membabitkan tuduhan rasuah yang akan dibicarakan di mahkamah kelak,
“Ini tidak benar dan tidak tepat. Bolehkah Muhyiddin tunjuk surat di mana saya keluarkan arahan sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary?,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berbohong dengan mengaitkan keputusannya semasa saya menjadi Menteri Kewangan.
Pada Khamis, Muhyiddin dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk direkodkan kenyataannya, dan antara isu yang dibangkitkan oleh agensi antirasuah itu ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.
Sejurus selesai disoalsiasat, Muhyiddin dalam sidang medianya dilaporkan mendakwa kerajaan PH telah membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang telah diluluskan kepada Yayasan Albukhary.
Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa, ketika menerajui pentadbiran negara, beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan tentang perkara itu, sebaliknya, keputusan untuk menimbangkan rayuan yang dibuat oleh Syed Mokhtar itu diputuskan oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Tambahnya, apabila beliau menjadi Perdana Menteri selepas kerajaan PH jatuh, Syed Mokhtar merayu kepadanya untuk menarik balik pembatalan tersebut. -airtimes.my