MIRI, 17 Ogos – Anggota tentera diingatkan agar tidak leka dan sentiasa berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk mempertahankan dan menjaga tanah air daripada dicerobohi.
Pegawai Waran I (PW I) Batalion Ke-8 Rejimen Sempadan (8 RS) Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Mohd Azhar Mohamed Nor mengingatkan semua anggota tentera untuk tidak sesekali mengeluh atas tugas yang diamanahkan.
“Ingatlah kita adalah organisasi Tentera Darat yang menjadi tonggak utama pertahanan negara, oleh itu perlu sentiasa berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk mempertahankan dan menjaga tanah air kita daripada dicerobohi.
“Janganlah kita leka kerana terpikul dengan satu tanggungjawab yang besar. RS adalah benteng utama pertahanan negara yang tercinta ini,” katanya ketika berucap pada Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas SMR di Kem PLKN Sungai Rait di sini, semalam.
Beliau turut mengingatkan kepada semua anggota agar tidak melibatkan diri dengan perkara-perkara yang merugikan perkhidmatan Tentera Darat.
“Ingatlah ibu bapa, isteri serta anak tercinta. “Jauhi dadah, judi dan jauhi juga tidak hadir tugas tanpa cuti (THTC). Ingatlah keseronokan itu hanya seketika tetapi kesengsaraan selama-lamanya,” katanya.
Mohd Azhar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota 8RS yang telah memberi kerjasama baik semasa beliau menyandang jawatan SMR.
Pada majlis semalam, PW I Abdul Mutalib Abdullah menerima Tongkat Kuasa bagi menggantikan Mohd Azhar yang bersara wajib.
Upacara menandatangani nota serah terima tugas SMR antara Abdul Mutalib dan Mohd Azhar disaksikan Pegawai Memerintah 8RS Leftenan Kolonel Shamsul Bahari Che Soh.
Mohd Azhar merupakan SMR yang pertama sejak penubuhan 8RS di Miri bermula pada 1 Disember 2015 hingga semalam.
Perbarisan serah terima tugas SMR 8RS semalam turut disertai 11 pegawai dan 241 anggota lain-lain pangkat.