KUALA PERLIS, 17 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat lebih kurang 2.3 tan dan menahan 2 lelaki di pantai Sungai Padang, pada Sabtu lalu.
Pengarah APMM Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim, Mohd Zawawi Abdullah berkata, anggota APMM telah menahan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran yang membawa muatan daun ketum terbabit di kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang pada kira-kira jam 7.55 pagi.
Beliau berkata, ketika ditahan, 2 suspek cuba melarikan diri ke darat namun gagal dan berjaya dipintas oleh anggota yang bertugas.
“Sebaik menyedari kehadiran anggota APMM, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun itu bertindak menukar haluan sebelum terjun ke laut dan melarikan diri ke darat namun berjaya ditahan,” jelasnya.
Mohd Zawawi berkata, pemeriksaan pada petak simpanan bot berkenaan menemukan 230 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dianggarkan bernilai RM414,000.
Selain daun ketum, Mohd Zawawi menjelaskan, anggotanya turut menemukan 2 peket kecil plastik lut sinar disyaki berisi syabu seberat 1.72 gram dianggarkan bernilai RM688.
“Terdapat juga 3 peket kecil plastik lut sinar disyaki heroin seberat 1.47 gram dianggarkan bernilai RM117.60 di bahagian kemudi bot,” tambahnya.
Menurutnya, nilai keseluruhan barangan rampasan termasuk daun ketum, dadah, bot serta enjin dianggarkan bernilai RM537,305.60 dan ia merupakan rampasan terbesar setakat tahun ini.
“Suspek serta kesemua barangan rampasan termasuk bot ditahan dan dibawa masuk ke jeti APMM Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah,” ujarnya. -airtimes.my