Home Pertahanan dan Keselamatan PGA tahan 2 warga asing, rampas sepucuk pistol

PGA tahan 2 warga asing, rampas sepucuk pistol

by Air Times News Network

KALABAKAN, 23 Feb – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki warga asing dan merampas sepucuk pistol buatan sendiri dalam serbuan di Ladang Kelapa Sawit Suria, Batu 10, Ahad lepas.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, DSP Abd Halim Ahmad berkata, berdasarkan maklumat awam yang diterima, dua lelaki tersebut disyaki pengedar dadah telah ditahan oleh pegawai dan anggota kompeni A yang menjalankan Op Benteng COVID-19.

“Pasukan PGA telah membuat rondaan dan serbuan ke atas sebuah pondok di lokasi berkenaan kira-kira jam 5 petang,

“Dalam serbuan tersebut, terdapat dua lelaki warga asing berada di pondok berkenaan. Kedua-dua lelaki itu, berumur lebih kurang 40 dan 47 tahun serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam hantaran di media sosial Batalion 14 PGA.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan dan telah menjumpai sebuah beg berwarna hitam dipercayai milik salah seorang dari mereka.

“Pemeriksaan lanjut ke dalam beg berkenaan telah menjumpai sepucuk pistol buatan sendiri dan sebutir peluru yang telah diubah suai,

“Turut ditemui sebuah bekas yang didalamnya terdapat 20 peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.53gram yang dianggarkan bernilai RM536,” ujarnya.

Selain itu, pasukan PGA turut menemui sebilah pisau berukuran 18cm dan sebilah keris berukuran 13cm di dalam beg hitam tersebut.

Katanya lagi, kesemua tangkapan dan rampasan tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply