Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas dadah bernilai RM330 ribu di perairan Johor

APMM rampas dadah bernilai RM330 ribu di perairan Johor

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 18 Sept — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili merampas dadah seberat 6 kilogram dan dianggarkan bernilai RM330,000 dalam operasi di perairan Tanjung Setapa.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, dadah jenis syabu itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran menerusi rondaan dijalankan kira-kira jam 7.30 malam, pada Rabu lalu.

Beliau menjelaskan, pasukannya telah mengesan 2 bot gentian kaca saling merapat dan berhimpit dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika selatan perairan tersebut.

Menyedari keadaan itu, pasukan operasi bertindak menuju ke arah lokasi untuk melakukan serbuan dan pemeriksaan.

“Bagaimanapun kedua-dua suspek bertindak meninggalkan sebuah bot di lokasi dan melarikan diri bersama salah sebuah bot dengan memecut laju menuju sempadan Malaysia-Indonesia dan terselamat daripada ditahan,

“Pemeriksaan ke atas bot menjumpai dadah disyaki jenis syabu anggaran berat 6 kilogram bernilai RM330,000 yang disembunyikan di dalam tong minyak,” katanya pada Jumaat.

Menurut Simon, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM350,000 termasuk bot gentian kaca dan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda.

Kes pula akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Simob berkata, dadah tersebut bertujuan diseludup ke negara jiran menggunakan modus operandi menyamar sebagai nelayan tradisional dengan menggunakan bot – bot kecil sebagai pengangkutan.

Dalam masa yang sama, pihaknya akan terus menyiasat lanjut kes ini bagi menjejaki dalang atau pihak terlibat dalam pengedaran dadah kerana aktiviti tersebut dilihat mula aktif di perairan Johor.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply