Home Pertahanan dan Keselamatan APMM patahkan cubaan seludup 40kg syabu bernilai RM2 juta

APMM patahkan cubaan seludup 40kg syabu bernilai RM2 juta

by Nurulhuda

BATU PAHAT, 11 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat telah menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 40 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM2 juta di Jeti Nelayan Parit Jawa, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian 7 malam itu, pihaknya turut menahan 2 nelayan tempatan bersama sebuah bot yang digunakan.

“Maklumat risikan dan intipan berterusan mengenai aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah melalui perairan yang melibatkan bot-bot nelayan tempatan,

“Penggeledahan ke atas bot telah menemukan satu karung guni putih disembunyikan di bawah alat kemudi bot tersebut dan membawa kepada penemuan sejumlah 30 bungkusan mampat berisi dadah disyaki dadah jenis syabu dengan berat anggaran lebih kurang satu kilogram bagi setiap bungkusan,” katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat APMM Batu Pahat, pada Jumaat.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengakui dadah tersebut dalam proses transit untuk dipindahkan ke bot nelayan lain di perairan Parit Jawa sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

“Kedua-dua nelayan tempatan yang berumur 45 dan 48 tahun telah ditahan dan kesemua 30 bungkusan dadah turut dirampas dan dibawa ke APMM Batu Pahat untuk siasatan lanjut,

“Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” tambahnya

Jelasnya, keseluruhan barang yang dirampas merangkumi lebih kurang 40 kg dadah dipercayai jenis syabu, bot nelayan tempatan kelas A berwarna biru serta sebuah unit enjin model Yanmar 24 kuasa kuda, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM1706.00 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM2,032,706. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply