[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=uuksDm17Rd4[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Seramai 5,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula tengah malam tadi hingga 14 Julai ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah membuka satu pautan dalam talian bagi memudahkan penduduk untuk menerima bantuan.
“Pihak kami turut membuka satu pusat operasi untuk memantau jumlah kes dan masalah yang dihadapi penduduk ketika tempoh PKPD ini,
“Ada keluarga yang memerlukan barang keperluan yang lebih khusus seperti kain lampin bayi, susu atau ubat-ubatan yang sukar didapati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan pagar kawat duri di perumahan tersebut, malam tadi.
Kerja-kerja pemasangan pada malam tadi telah dilakukan oleh anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1RRD) serta kawalan daripada anggota Balai Polis Pantai.
Fahmi turut berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan membuka sebuah klinik bergerak di kawasan ini untuk memantau segala keperluan kesihatan penduduk sepanjang tempoh PKPD dijalankan.
“Harapan saya, agar semua pihak memainkan peranan masing-masing termasuk sukarelawan, penyumbang barangan keperluan, agensi kerajaan dan yang paling penting ialah penduduk di kawasan ini untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19,
“Saya berharap semua penduduk dapat memberi kerjasama penuh kepada agensi kerajaan yang terlibat supaya dapat mempercepatkan pengesanan penduduk yang dijangkiti wabak COVID-19, seterusnya mereka akan menerima dan bantuan yang secukupnya dapat disampaikan,” tambahnya.
Pada masa yang sama, beliau berkata, penduduk yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat akan dijadualkan semula oleh PKD untuk menerima dos tersebut selepas tempoh PKPD ditamatkan.
“Maklumat terkini dari pihak polis, semua penduduk yang akan menerima vaksin dalam tempoh PKPD akan dijadualkan semula selepas habis tempoh PKPD. Ia adalah untuk mengurangkan pergerakkan,
“Dalam zon PKPD, penduduk tidak dibenarkan keluar ke tempat lain, ia akan ditangguhkan seminggu atau dua minggu. Dari sudut pandangan kesihatan ia tidak menjejaskan keupayaan pemberian vaksin dalam mengekang wabak COVID-19 di dalam komuniti,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 3 orang pegawai dan 50 anggota dari 1 RRD telah melaksanakan pemasangan hampir 900 meter pagar kawat duri bagi mengepung 4 blok perumahan di lokaliti tersebut.
Kerja-kerja pemasangan telah bermula pada jam 9 malam diseluruh kawasan perumahan tersebut dan siap sepenuhnya awal pagi tadi.
Selain, PPR Pantai Ria, PKPD turut dikenakan di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam dalam tempoh masa yang sama.
Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di PPR Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam ini adalah berikutan pengesanan peningkatan kes COVID-19 yang dikesan secara mendadak di lokaliti tersebut.
Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan sebanyak 861 ujian saringan di PPR Pantai Ria dan 171 daripadanya disahkan positif COVID-19.
Di Taman Bukit Angkasa pula, sebanyak 153 kes direkodkan selepas 697 orang penduduk menjalani ujian saringan.
Beliau berkata, KKM juga mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini adalah bagi memudahkan KKM untuk melakukan saringan secara aktif dan menyekat pergerakan serta penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.-airtimes.my