STOCKHOLM, 14 MAC – Jumlah pemindahan senjata utama antarabangsa mencatatkan lonjakan sebanyak 9.2 peratus bagi tempoh lima tahun antara tahun 2021 hingga 2025.
Laporan terbaharu Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) mendedahkan bahawa peningkatan tersebut didorong secara besar-besaran oleh permintaan mendadak dari negara-negara Eropah.
Negara-negara di benua berkenaan telah melipatgandakan import senjata mereka sebanyak 210 peratus berbanding tempoh lima tahun sebelumnya. Perkembangan itu secara langsung menjadikan Eropah sebagai rantau penerima persenjataan terbesar di dunia dengan menguasai 33 peratus import global.
Peningkatan aliran senjata antarabangsa ini merupakan yang tertinggi sejak tempoh 2011 hingga 2015. Ia sebahagian besarnya disumbangkan oleh pemindahan senjata ke Ukraine yang kini menerima 9.7 peratus daripada keseluruhan pemindahan senjata global.
Pengarah Program Pemindahan Senjata SIPRI, Mathew George berkata ketegangan dan konflik berterusan di beberapa rantau lain sememangnya memacu import senjata berskala besar, namun faktor Eropah adalah pendorong utama peningkatan angka global.
“Lonjakan ketara dalam aliran senjata ke negara-negara Eropah telah menolak pemindahan senjata global meningkat hampir 10 peratus.
“Penghantaran ke Ukraine sejak tahun 2022 adalah faktor paling jelas, tetapi kebanyakan negara Eropah lain juga telah mula mengimport lebih banyak senjata secara signifikan untuk memperkukuh keupayaan ketenteraan mereka terhadap ancaman yang semakin meningkat dari Rusia,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SIPRI.
Laporan SIPRI turut menyentuh sentimen ancaman terhadap Rusia serta ketidakpastian mengenai komitmen Amerika Syarikat (AS) untuk mempertahankan sekutu Eropahnya.
Situasi ini telah melonjakkan permintaan senjata dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) secara mendadak.
Secara keseluruhan, gabungan import senjata oleh 29 negara anggota NATO di Eropah telah berkembang pesat sebanyak 143 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Bagi menampung keperluan tersebut, hampir separuh daripada pemindahan senjata ke Eropah dibekalkan oleh AS iaitu sebanyak 48 peratus, diikuti oleh negara serantau seperti Jerman dan Perancis.
Penyelidik Program Pemindahan Senjata SIPRI, Katarina Djokic menjelaskan bahawa walaupun firma pertahanan Eropah telah meningkatkan pengeluaran senjata domestik, rantau tersebut masih amat bergantung kepada teknologi blok Barat.
“Sokongan pelaburan baharu Kesatuan Eropah untuk industri pertahanan negara anggota telah membawa kepada beberapa pesanan dalaman, namun negara-negara Eropah terus mengimport senjata AS pada tahun 2021 hingga 2025,
“Mereka memfokuskan pembelian khususnya kepada pesawat tempur dan sistem pertahanan udara jarak jauh,” jelas beliau.
Di sebalik lonjakan melampau di benua Eropah, aliran import senjata ke seluruh rantau lain di dunia termasuk Asia dan Oceania, Timur Tengah, serta Afrika masing-masing merekodkan penyusutan yang ketara sepanjang tempoh lima tahun yang sama. – airtimes.my
