KUALA LUMPUR, 26 Okt – Malaysia bersama Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan terus memberikan tekanan kepada Israel supaya rancangan pencerobohan darat ke atas Gaza tidak berlaku.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia telah menyertai kumpulan negara Arab dan OIC untuk memberikan tekanan berterusan serta menghalang tindakan yang tidak bertanggungjawab Israel itu.
“Ground offensive (serangan darat) yang sedang dirancang oleh pihak Israel untuk menyerang Gaza. Sehingga hari ini, walaupun sudah lebih 2 minggu mereka merancang, (pencerobohan darat ke atas Gaza) tetapi masih belum dilakukan,
“Tetapi, kita tak boleh mengambil mudah, kerana mereka sedang siap sedia untuk melakukannya. Sebab itulah Malaysia termasuk negara lain dalam OIC bertungkus lumus dalam beberapa hari ini bagi memastikan perkara ini tak dilakukan,” katanya menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Zambry, beliau sendiri sepatutnya hari ini berada di New York untuk bersama-sama rakan sejawat dari negara lain sempena Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, katanya, beliau ditugaskan untuk berada di tempat lain, bagi melaksanakan misi untuk mengekang tindakan yang hendak digerakkan oleh Israel itu.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, Israel sedang bersedia untuk melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, keputusan mengenai bila tentera akan memasuki kawasan Palestin yang dikawal oleh Hamas, akan dibuat kabinet perang khas kerajaan, termasuk satu daripada ketua parti pembangkang.
Terdahulu, Wisma Putra melalui kenyataan memaklumkan, Malaysia menyokong Sesi Tergempar Khas UNGA, yang dijadualkan bersidang pada hari ini di New York.
Wisma Putra berkata, Malaysia bersama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timur Leste dan Vietnam menyokong permohonan kumpulan negara Arab dan OIC untuk menyambung semula Sidang Tergempar ke-10 pada perhimpunan berkenaan.
Sokongan itu dinyatakan berikutan draf resolusi mengenai keadaan genting di Wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmuqaddis Timur dikenakan veto. -airtimes.my
#semasa #Malaysia #palestin #gaza #airtimes