PORT DICKSON, 6 Okt – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menghadiri program di kem tentera dan masjid hanya untuk memenuhi undangan yang diterimanya.
Justeru, katanya tidak timbul soal beliau menggunakan program kerajaan dan masjid untuk berkempen pada pilihan raya itu.
“Mereka jemput saya pergi solat, beri tazkirah. Jadi saya pun beri tazkirah, saya juga tahu ada calon Bebas pergi ke masjid dan bercakap juga,” kata Anwar ketika ditemui pemberita pada majlis Sembang Santai Usahawan Desa dan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan beberapa calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dilaporkan berkata ada calon menggunakan aset kerajaan untuk berkempen selain berucap di masjid.
Mohd Saiful Bukhari bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana calon, namun ia dilihat merujuk kepada Anwar yang sebelum ini menghadiri majlis Kementerian Pertahanan.
PRK 13 Oktober itu menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, calon Pas, Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas termasuk Mohd. Saiful Bukhari dan bekas Menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. – Bernama