GEORGETOWN, 11 Nov – Menarik kereta hanya dengan menggunakan jari. Itu aksi luar biasa yang dipamerkan seorang tentera wanita dalam program yang dianjurkan di Padang Kota Lama, di sini pada Sabtu.
Aksi Prebet E Sasheladevi, 27 menarik perhatian ramai pengunjung apabila dia dengan hanya menggunakan jari telunjuk menarik kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard sejauh 70.2 meter selama 1.25 minit.
Keupayaannya itu sekali gus membolehkan dia mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Sasheladevi berkata, dia yang dahulunya atlet angkat berat sejak berusia 14 tahun menggunakan kekuatan yang ada pada dirinya untuk melakukan perkara yang sukar daripada kemampuan manusia biasa.
“Untuk mencipta rekod ini, saya mengambil masa selama lima bulan berlatih dan berasa sangat lega kerana akhirnya berjaya merealisasikannya.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang hadir menyaksikan rekod baharu tersebut dilakar berkata, kecekalan Sasheladevi untuk meraih kejayaan demi kejayaan sewajarnya dipuji.
“Saya sangat gembira dan teruja kerana kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya mencipta rekod lain pada masa akan datang,” katanya lagi.
“Ini adalah salah satu mesej positif yang harus dicontohi oleh semua golongan muda.
“Jangan sesekali berputus asa, hadapilah setiap cabaran dan tekanan dengan minda yang positif dan semangat juang tinggi.
“Di mana ada keinginan dan kemahuan, pasti ada kejayaan, tiada yang mustahil, kita boleh!,” seru beliau.
Hadir sama Pengarah Khidmat Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rashidah Jalaludin, Presiden Persatuan Angkat Berat ATM, Kolonel Inderjit Singh, Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolenal Abdul Halim Majid dan wakil MBOR, Lee Pooi Leng.
Program tersebut dianjurkan Orient Fitness Penang bersama-sama Kelab Sukan Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA) dan disokong oleh Kerajaan Negeri serta MBPP.