PUTRAJAYA, 7 Apr – Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke-4 bermula hari ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan PKPD ini dibuat berikutan terdapat 15 kes positif COVID-19 di kedua-dua bangunan tersebut.
“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPD-4,
“PKPD ini melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu,” katanya semasa sidang media harian COVID-19 hari ini.
Beliau berkata perintah ini berkuatkuasa mulai 7 April 2020 sehingga pengesanan ini tamat.
“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar,
“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, bagi memastikan pematuhan perintah ini Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukaraelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan tersebut,
Sebelum ini kerajaan telah melaksanakan PKPD pertama di Simpang Renggam iaitu di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid berkuat kuasa 27 Mac hingga 9 April.
PKPD ke-2 pula dilaksanakan di Sungai Lui, Hulu Langat melibatkan tujuh kampung iaitu Kampung Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai dikenakan PKPD bermula 30 Mac lalu hingga 13 April.
Manakala PKPD ke-3 di Menara One City di Jalan Munshi Abdullah yang bermula pada 31 Mac sehingga 13 April 2020 melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kediaman dan premis perniagaan.


