LUMUT, 8 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mematahkan cubaan bot nelayan asing (BNA) yang ingin menceroboh masuk perairan Malaysia bagi tujuan mengaut hasil laut negara di sekitar Pulau Perak, semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, KD LEKIU telah diaturgerakkan untuk ke lokasi pengesanan awal BNA tersebut iaitu di sekitar perairan Tenggara Pulau Perak.
Menurutnya, KD LEKIU telah melaksanakan pengusiran ke atas 2 buah BNA secara membayangi sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.
“Manakala baki 6 buah BNA lagi dipercayai telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara,” jelas TLDM dalam kenyataan malam tadi.
Terdahulu, TLDM menjelaskan, pesawat B200T (RMF 364) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan keberadaan 8 buah BNA tersebut di posisi kira-kira 67 batu nautika tenggara perairan pulau tersebut.
“Maklumat pengesanan telah disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut,
‘Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat dalam memastikan setiap tindakan menceroboh akan sentiasa dipatahkan baik dilaut mahupun di darat,” ujar kenyataan itu.
Jelas TLDM, ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” tambahnya. -airtimes.my