PHNOM PENH, 3 JUN – Isu pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand baru-baru ini akan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan insiden pertempuran maut yang berlaku minggu lalu di wilayah Preah Vihear, Kemboja.
Kejadian tembak-menembak antara tentera Kemboja dan Thailand pada minggu lalu telah menyaksikan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh di kawasan berhampiran sempadan tiga negara antara Kemboja, Thailand dan Laos.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan membawa isu sempadan sepanjang 800 kilometer itu ke ICJ sekiranya tiada penyelesaian bersama dapat dicapai.
“Kerajaan akan membawa isu ini ke ICJ bagi menentukan sempadan dengan jelas, mengelakkan konflik bersenjata yang berpunca daripada kekeliruan kawasan sempadan antara dua negara.
“Saya juga telah mengarahkan Suruhanjaya Bersama Sempadan Kemboja-Thailand (JBC) untuk segera mengadakan mesyuarat JBC bersama pihak Thailand bagi neneruskan kerja-kerja pengukuran, penandaan dan pemasangan tiang sempadan antara kedua-dua negara,” katanya pada Isnin.
Selain itu, Hun Manet turut menegaskan bahawa Kemboja berhak mempertahankan kedaulatan wilayahnya dengan apa jua cara, termasuk penggunaan kekuatan ketenteraan sekiranya berlaku sebarang cubaan pencerobohan menggunakan kekerasan tentera.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa walaupun Kemboja berusaha untuk menyelesaikan isu sempadan secara aman menerusi mekanisme teknikal dan undang-undang antarabangsa.
“Saya berharap kedua-dua pihak dapat bekerjasama untuk mencapai penyelesaian muktamad bagi kawasan pertikaian yang sensitif ini, serta meneruskan kerja pengukuran, persefahaman dan pemasangan tiang sempadan di kawasan yang belum ditanda, secara aman berdasarkan pendekatan teknikal dan undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
Konflik yang tercetus itu menghangatkan kembali ketegangan lama antara kedua-dua negara jiran.
Kemboja menuduh tentera Thailand melepaskan tembakan tanpa provokasi, manakala pihak Thailand mendakwa askar Kemboja terlebih dahulu memasuki kawasan yang dipertikaikan dan enggan berunding. -airtimes.my
#Kemboja #Thailand #Sempadan #ICJ #PertikaianSempadan #ASEAN #airtimes
