Timbalan Ketua PH Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kerajaan Pusat bagaimanapun mempunyai kaedah lain untuk menggantikan jawatan itu tidak lama lagi.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memutuskan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Di Kelantan, perkara itu akan diuruskan Husam Musa yang bakal dilantik sebagai senator untuk jawatan Majlis Penasihat Pembangunan Persekutuan di Kelantan.

“Kita faham di Kelantan bukan kerajaan PH yang memerintah namun rakyat akan terus mendapat pembelaan apabila ada penyusunan mengenai jawatan baharu itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menabung Bersama I-Suri, di Dataran Kampung Jerek, di sini hari ini.

Wan Abdul Rahim dalam pada itu memberitahu, kerajaan PH tidak membuat pelantikan jawatan itu bagi mengelakkan berlaku pertindihan kuasa dengan jawatan sama dibuat kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, masih ada rakyat di Kelantan tidak tahu berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan membezakan antara harga kerajaan Pusat dengan harta kerajaan negeri.

“Perkara itu menyebabkan timbul kekeliruan berhubung harta milik kerajaan Pusat yang boleh digunakan wakil kerajaan PH.

“Ada pemimpin setempat tidak membenarkan wakil kita menggunakan dewan serba guna atau balai raya untuk menganjurkan majlis sedangkan itu harta kerajaan Pusat,” katanya.