BRUSSELS, 24 SEPT – NATO memberi amaran keras kepada Rusia untuk menghentikan tindakan provokasi di ruang udara.
Kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Atlantik Utara (NAC), iaitu badan pembuat keputusan tertinggi NATO susulan insiden tiga pesawat MiG-31 bersenjata menceroboh ruang udara Estonia pada 19 September lalu, yang disifatkan sebagai provokasi berbahaya.
Menurutnya, pencerobohan itu berlangsung lebih 10 minit sebelum pesawat pejuang NATO dikerahkan untuk memintas dan mengiringi jet Rusia keluar dari ruang udara Estonia.
Mesyuarat tergempar di bawah Artikel 4 Perjanjian Washington telah diadakan atas permintaan Estonia.
NATO menegaskan insiden itu adalah sebahagian daripada pola provokasi berulang oleh Rusia, termasuk pelanggaran ruang udara Poland oleh dron pada 10 September serta gangguan serupa terhadap Finland, Latvia, Lithuania, Norway dan Romania.
“Rusia memikul tanggungjawab penuh atas tindakan provokatif yang bersifat eskalatori, berisiko menimbulkan salah tafsir dan membahayakan nyawa. Tindakan ini mesti dihentikan,” menurut kenyataan itu.

Pesawat MiG-31 bersenjata dilapor menceroboh ruang udara Estonia
Sebagai tindak balas, NATO mengingatkan bahawa ia akan terus memperkukuh pertahanan melalui operasi Eastern Sentry yang dilancarkan pada 12 September lalu di sepanjang kawasan Timur Eropah.
Operasi tersebut meningkatkan keupayaan pertahanan udara serta memperkukuh postur ketenteraan sekutu.
NATO turut memberi amaran bahawa sebarang provokasi lanjut akan menerima tindak balas tegas.
“NATO dan sekutu akan menggunakan semua instrumen ketenteraan dan bukan ketenteraan, mengikut undang-undang antarabangsa, untuk mempertahankan diri serta menghalang ancaman dari semua arah. Tindak balas akan dibuat dalam cara, masa dan domain pilihan kami sendiri,” jelas kenyataan itu.
NATO juga menegaskan komitmen kepada Artikel 5 adalah “kukuh sepenuhnya” serta memberi jaminan sokongan berterusan kepada Ukraine dalam mempertahankan diri daripada pencerobohan Rusia. – airtimes.my
#NATO #keselamatan #pencerobohanudara #MIG-31 #Global #Rusia #airtimes
