KARACHI, 12 MAC – Pasukan Keselamatan Pakistan telah membunuh seramai 27 militan yang bertindak menyerang sebuah kereta api yang membawa lebih 400 penumpang dari Quetta di wilayah Balochistan, barat daya negara itu ke Peshawar pada Selasa.
Manakala, seramai 155 tebusan berjaya diselamatkan oleh Pasukan Keselamatan Pakistan dalam operasi membebaskan penumpang.
Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) yang diharamkan, mendakwa telah menawan seramai 214 lagi penumpang untuk dijadikan tebusan selepas menyerang sebuah kereta api di kawasan berbukit dalam daerah terpencil Bolan, Balochistan.
Pasukan keselamatan Pakistan memaklumkan, pihaknya telah membebaskan seramai 155 tebusan termasuk wanita dan kanak-kanak.
Selain itu, operasi bagi menyelamatkan baki penumpang masih giat dijalankan.
Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri Pakistan, Talal Chaudhry berkata, pasukan keselamatan beroperasi dalam keadaan yang mencabar dan bertindak dengan berhati-hati kerana pengganas menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai perisai manusia.
“Pasukan keselamatan sedang melaksanakan operasi berskala penuh, dan semua penumpang akan diselamatkan tidak lama lagi,” ujar beliau.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung jumlah yang terkorban.
#rampasan #keretaapi #Pakistan #tebusan #serangan #kumpulanmilitan #Global #Airtimes