PASIR PUTEH, 14 Jun – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan melupuskan 2 buah bot nelayan asing Vietnam secara musnah pecah di Pusat Tahanan Vesel, APMM di Tok Bali, pada Isnin.
Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, pihaknya menggunakan jengkaut untuk memecahkan kedua-dua buah bot yang telah reput dan tidak sesuai untuk dijadikan tukun tiruan itu.
Jelasnya, kedua-dua bot ditahan melalui Op Damai dan Op Kuda Laut pada Februari sehingga April, serta bot itu telah dilucut hak oleh mahkamah pada 30 November 2021.
“Penahanan dua bot ini turut melibatkan tahanan ke atas 12 kru termasuk tekong warga Vietnam dengan rampasan 2 bot, 100 kilogram ikan, 30 kilogram gamat, sejumlah 7,350 liter diesel termasuk peralatan navigasi serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM 2.06 juta,
“Kesemua kru termasuk tekong disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial APMM, malam tadi.
Beliau berkata, kesemua 12 kru termasuk tekong didakwa di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.
Dalam perkembangan yang sama, Khairun Dalilah menjelaskan, sebanyak 5 buah bot telah dilupuskan melalui kaedah penenggelaman dan musnah pecah dengan nilai anggaran RM7.56 juta pad atahun ini.
“Selain itu, sebanyak 18 bot dilupuskan secara musnah pecah dengan nilai anggaran RM26.06 juta sejak tahun 2007,
“Secara keseluruhannya, APMM Negeri Kelantan telah melupuskan sebanyak 251 bot nelayan asing Vietnam melalui pelbagai kaedah dengan anggaran nilai RM375.06 juta.-airtimes.my