LUMUT, 10 Feb – Perolehan Kapal Sokongan Pelbagai Fungi (Kapal Multi-Role Support Ship, MRSS) amat diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai aset penting dalam melaksanakan misi ulang bekal berskala besar.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, mengenai kejayaan Kapal Diraja (KD) MAHAWANGSA yang telah selamat sampai ke tanah air selepas berjaya melaksanakan misi ulang bekal Malaysian Battalion (MALBATT) 850 di Beirut, Lubnan.
Menurut kenyataan itu, Malaysia tidak boleh bergantung harap kepada aset sedia ada sekiranya terdapat peluang ulang bekal berskala besar pada masa hadapan.
“Misi ulang bekal MALBATT-850 yang dilaksanakan kali ini adalah berskala sederhana serta berdasarkan kepada kapasiti dan kemampuan KD Mahawangsa,
“Walaupun berjaya dilaksanakan serta membuktikan komitmen TLDM, namun kita tidak boleh bergantung harap kepada aset sedia ada sekiranya terdapat peluang ulang bekal berskala besar,
“Keupayaan bantuan logistik TLDM boleh dipertingkatkan dengan kehadiran kapal MRSS dengan keupayaan yang lebih tinggi dan misi seperti ini (ulang bekal MALBATT 850 ke Beirut) boleh dilaksanakan dengan lebih pantas dan berskala besar,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, KD Mahawangsa memulakan pelayaran pada 30 November lalu dan selamat tiba di Beirut pada 2 Januari 2023 setelah belayar selama 34 hari di lautan,
Selain operasi ulang bekal, kapal berkenaan turut melaksanakan misi memperkasakan diplomasi pertahanan negara dengan menyertai ‘International Fleet Review’ (IFR) di Cox’s Bazar, Bangladesh pada 6 hingga 9 Disember lalu melibatkan sebanyak 28 angkatan laut dari seluruh dunia.
“KD Mahawangsa melalui Pelayaran Misi Ulang MALBAT 850 ke Lubnan telah berjaya membuktikan komitmen dan tahap kesiapsiagaan TLDM melengkapkan misi yang telah diamanahkan,
“KD Mahawangsa turut berpeluang memperkasakan diplomasi pertahanan dengan Tentera Laut India (TLI) semasa pelayaran pulang melalui lawatan operasi di Kochin pada 28 hingga 31 Januari serta melaksanakan ‘Passing Exercise’ (PASSEX) bersama INS Savitri pada 5 Februari lalu,” jelas MPA Barat lagi.
Sebelum ini, media melaporkan, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad mendesak agar perolehan kapal MRSS dapat disegerakan bagi kesiapsiagaan TLDM.
Menurutnya, MRSS adalah aset penting bagi memastikan keperluan operasi logistik serta sokongan bantuan kemanusiaan dan bencana alam atau lebih dikenali sebagai Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) di dalam dan luar negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Jelasnya, bagi memantapkan lagi pengoperasian, TLDM memerlukan sekurang-kurangnya 4 MRSS dengan 2 buah daripada kapal itu beroperasi di Armada Barat (Lumut) manakala 2 buah kapal selebihnya beroperasi di Armada Timur (Sabah). -airtimes.my
