JOHOR BAHRU, 25 Jun – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor, Aznan Tamin menyelar tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan menuding jari dan menyalahkan pihak lain dalam isu Pulau Batu Puteh.
Beliau berkata, sebagai seorang ‘negarawan’ Tun Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab dan bukan meneruskan sikap menunding jari menyalahkan pihak lain atas keputusan sendiri.
“Pertamanya saya selaku salah seorang Ahli Dewan Negeri Johor merafak sembah menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Johor yang kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018,
“Perdana Menteri pada ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat satu keputusan yang membelakangi Tuanku Sultan Johor selaku Ketua Negeri Johor untuk tidak meneruskan semakan terhadap keputusan ICJ tentang pemilikan Batu Puteh.
“Lebih mengecewakan, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah merujuk Pulau Batu Puteh sebagai ‘pulau yang bersaiz sebesar meja’,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Aznan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang berkata, sebagai bangsa Johor, walau seinci tanah Johor ia melambangkan kedaulatan negeri dan seluruh jajahan takluk Tuanku Sultan Johor.
“Lebih-lebih lagi, Pulau Batu Puteh ini letaknya berhampiran dengan kawasan saya iaitu DUN Tanjung Surat,
“Sebagai salah sebuah negeri di dalam negara Malaysia, negeri Johor sepatutnya dipertahan ‘sehingga ke titisan darah terakhir’ oleh Kerajaan Persekutuan pada ketika itu dan bukannya berserah begitu sahaja, ibarat ‘hanya melepaskan batuk di tangga’,
“Akhir sekali, saya berharap Tun Dr. Mahathir sebagai ‘negarawan’ dapat ambil tanggungjawab dan bukannya meneruskan sikap menuding jari menyalahkan pihak lain atas keputusan sendiri,” ujarnya.
Terdahulu, Tun Mahathir dilaporkan mencadangkan supaya Riau dan Singapura dituntut semula kerana mereka adalah ‘Tanah Melayu’ berdasarkan sejarah.
Bagaimanapun Tun Mahathir kemudian mendakwa kenyataan yang dilaporkan adalah tidak tepat.
Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, kenyataannya hanya merujuk kepada Pulau Batu Puteh yang pemilikannya menjadi kebimbangan rakyat Malaysia berbanding wilayah lain yang sebelum ini diambil dari Malaysia.
Menurutnya, kehilangan Pulau Batu Puteh itu bukanlah satu perkara besar dan ia merupakan kesilapan kerajaan Johor yang menafikan pemilikan pulau tersebut. -airtimes.my