JOHOR BAHRU, 11 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa apabila ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Baginda bertitah agar semua pemimpin mengutamakan kepentingan rakyat serta perpaduan ummah dan bukan bertindak sebaliknya demi kepentingan peribadi.
“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin Bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah,
“Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titahnya menerusi hantaran die media sosialnya, semalam.
Sultan Ibrahim bertitah agar semua pemimpin untuk berlaku jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan.
“Pemimpin perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanahair,
“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” tambah baginda. -airtimes.my