Asalnya kiambang itu serumpun. Pada usia 74 tahun parti keramat Melayu, UMNO, terus berpecah, lahirkan begitu banyak parti politik Melayu Bumiputera, termasuk PKR yang majmuk. Belum nampak kiambang yang asalnya serumpun, akan kembali bertaut.
UMNO terus berdepan ancaman perpecahan. Satu persatu ujian diturunkan kepadanya, terutama selepas kecundang menerajui BN dalam PRU14. Suatu ketika ia berada diambang keruntuhan dek kelibat pemimpin yang menjahanamkannya, masih bernafsu untuk kekal sebagai frontliners.
Ia terus malang apabila begitu besar bilangan MPnya menyeberang menyertai Bersatu, sekaligus UMNO hilang tahkta sebagai parti politik terbesar. Kenapa mereka melompat ke Bersatu, tidak PAS, PAN atau PKR? Kerana pada ketika itu Bersatulah yang ‘berkuasa’. Jelas sekali motif lompatan ialah kerana kuasa.
Bila wabak itu berhijrah melanda Bersatu, nyawanya pula bergantung kepada UMNO. Semua mata tertumpu kepada UMNO.
Realitinya, UMNO masih dalam ICU dek jangkitan kanser kepala dan duri dalam daging. Malah ia diambang untuk pecah lima, malah bakal pecah enam. Salah-salah hemat boleh berkubur dibuatnya. Secara peribadi, saya pun hampir-hampir hilang keyakinan terhadap kemampuannya untuk kembali menjadi parti keramat.
Alhamdulillah, pada malam Isnin 26-10-2020, kepimpinan UMNO dibuka pintu hati oleh-Nya, mengumpul dan mentautkan kiambang yang berselerak. Setidak-tidaknya itulah yang tercapai pada malam itu.
Pun begitu tidak bermakna duri-duri dalam dagingnya telah berislah menjadi tulang rusuk UMNO. Belum juga bermakna kepala-kepala yang hampir pecah lima atau enam itu sudah sebulat air dalam pembentong. Dalam budaya politik orang Melayu hari ini, sesuatu itu boleh berubah sekelip mata. Apa pun, kita wajib bersangka baik dengan nawaitu mereka.
Kini, tumpuan maruah politik Melayu berpindah ke tangan Bersatu sebagai parti yang menerajui Kerajaan PN.

Nasib Melayu kini bergantung kepada kekuatan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lapan bulan yang lalu ia dilihat sebagai penyelamat ummah. Semua pihak berlapang dada. Kini semua pihak terbeliak biji mata, tergamam tak terkata.
Tak semena-mena Kerajaan yang dilihat begitu Islamik, tiba-tiba hilang rentak dan hilang sokongan, dek kelibat beberapa duri dalam dagingnya sendiri yang menyebabkan piagam kesepakatan 1-7-2020 menjadi ragam kekalutan.
Semua mata merenung kepada Bersatu, terutama 4 watak utamanya.
Mampukah Bersatu mencabut duri dalam dagingnya yang beberapa bulan kebelakangan ini menikam banyak pihak yang menghulurkan tangan kepadanya?
Mampukah Bersatu menerajui dan mengajak kesemua parti politik yang 7 ini (selain PKR & DAP) untuk bersamanya, membentuk Kerajaan Kongsi-kuasa yang dipandu oleh Presidential Council, memimpin Negara secara mesyuarah, berhemah dan saksama. PAS dan GPS, malah Warisan, Pejuang dan Amanah bukan halangannya.
Rakyat telah seia-sekata akur dengan kehendak Kerajaan PN dan titah Tuanku.

Istana Negara menjadi tumpuan ketika negara dilanda kemelut politik semenjak Februari lalu. Foto: AirTimes
Majlis Raja-Raja telah sepakat menyatakan pendirian Baginda sekelian secara kolektif. Tuanku SPB telah diberi mandat oleh Ruler Brothers untuk bertitah.
Rakyat menjunjung kasih Tuanku, diatas kebijaksanaan Tuanku sekelian menangani kemelut politik semasa.
Titah Baginda disulam berlapek dengan pujian dan sokongan kepada kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, kecuali tidak merestui hasratnya untuk melaksanakan perintah darurat, yang semua pihak termasuk rakyat, merasakan belum ada keperluan berbuat demikian.
Hendaknya, Bersatu yang menerajui Kerajaan, pilih untuk reconcile semua sekutu dan seteru politiknya demi maruah bangsa, kemakmuran Negara dan kesejahteraan rakyat.
Hendaknya, Bersatu yang menerajui Kerajaan, gunapakailah model Presidential Council sebagai supreme body atau badan penasihat kepada PM dan kabinetnya, sekaligus mengelakkan PM dan kabainetnya dari dipunahsihatkan oleh beberapa duri dalam dagingnya.
Jika itulah realitinya, Kerajaan Kongsi-kuasa ini akan menjadi Kerajaan yang miliki kekuatan +/- 140 kerusi. Hendaknya, yang ulung di hormati, yang bertoleransi dihargai, yang menyokong didengari.
Salam Maulidur Rasul.
Penulis, Dato’ Dr Hasan Mad merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu.
