MICHIGAN, 8 SEPTEMBER – Peperangan di Ukraine telah menjadi salah satu faktor utama Tentera Darat Amerika Syarikat (U.S Army) membatalkan rancangan tingkat upaya M1A2 Abrams Service Enhancement Packege version 4 (SEPv4).
Perkara tersebut disuarakan oleh oleh Mejar Jeneral Glenn Dean, Pegawai Eksekutif Program Sistem Pertempuran Darat.
Menurut beliau, pembatalan rancangan M1A2 Abrams SEPv4 turut dipengaruhi oleh faktor logistik.
“Peperangan di Ukraine telah menunjukkan kepentingan kritikal untuk perlindungan bersepadu,
“Kereta kebal Abrams tidak lagi mampu untuk meningkatkan keupayaannya tanpa menambah berat kenderaan,
“Tetapi kita perlu mengurangkan keperluan dari sudut logistik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh US Army.
Beliau menambah, pembangunan keupayaan kereta kebal itu perlu dilakukan dari sudut dalaman.
Kenyataan itu juga menyatakan pelan ke hadapan US Army untuk membangunkan M1E3 Abrams yang akan digunakan oleh pasukan itu pada tahun 2040.
Abrams merupakan kereta kebal utama (Main Battle Tank) keluaran Chrysler Defense (kini General Dynamics) semenjak 1980-an. Pembangunan MBT ini dilakukan bagi menggantikan peranan kereta M60.
Sepanjang pengoperasiannya, Abrams telah menjalani pelbagai program pembangunan dan perubahan yang dilaksanakan mengikut maklum balas oleh pengguna.
Sehingga kini, terdapat 3 varian utama Abrams iaitu M1, M1A1 dan M1A2.
Menurut U.S Army dalam kenyataannya, pembangunan kereta kebal ini dilaksanakan dengan mengimbangi kos dengan keperluan pihak tentera.
Tambahnya, pembangunan M1E3 adalah perlu dilakukan bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kita perlu memperakui medan peperangan pada masa hadapan akan memberikan cabaran terbaharu kepada kereta kebal,
“Pada ketika ini, kita mempelajari dan mengkaji konflik yang sedan berlaku,” kata Brigedier Jeneral Geoffrey Norman, pengarah program kenderaan tempur masa hadapan U.S Army.
Menurut beliau, mobiliti dan ketahanan Abrams perlu dipertingkatkan bagi menjadikan kereta kebal itu ampuh dalam mengempur sasaran dalam pertempuran di masa hadapan.
Pada ketika ini, U.S Army akan meneruskan pengeluaran M1A2 Abrams SEPv3 sehingga M1E3 berjaya dihasilkan.
Tambahnya, M1E3 akan merangkumi beberapa ciri-ciri yang telah dirancang pada program pembangunan M1A2 SPEv4 yang telah dibatalkan. – airtimes.my