KUALA LUMPUR, 06 FEB – Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa jadual pentauliahan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama negara dipinda pada bulan Disember 2026.
Manakala, kapal LCS 2 pula dipinda ke Ogos 2027 selain pentauliahan LCS 3 kekal pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029.
Perkembangan terbaharu ini dimaklumkan melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis, bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Setiawangsa, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai status terkini proses ujian serta kos projek berkenaan.
“Berdasarkan laporan kemajuan sehingga 25 Disember 2025, projek pembinaan kapal tersebut telah mencapai tahap 75.73 peratus secara keseluruhannya.
“Kapal pertama atau LCS 1 kini sedang menjalani fasa ujian laut di peringkat limbungan yang telah bermula sejak 20 Januari 2026,” katanya.
Jelasnya lagi, kapal berkenaan seterusnya memulakan pelayaran sulung pada 28 Januari lalu bagi tujuan pengujian sistem jentera, penjana kuasa, sistem pendingin hawa dan sistem pendorong.
Pihak kementerian turut menjelaskan bahawa persediaan platform dan peralatan sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan ujian laut sepenuhnya dimulakan pada awal bulan April 2026.
“Pihak kementerian dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi jaminan akan terus memantau kemajuan projek ini secara sistematik dan berterusan.
“Dari segi kos, nilai keseluruhan kontrak projek LCS bagi kelima-lima buah kapal kekal berjumlah RM11.2 billion,” ujarnya.
Mengulas lanjut, perbelanjaan semasa yang telah direkodkan adalah sebanyak RM8.3 bilion, iaitu bersamaan kira-kira 74 peratus daripada jumlah keseluruhan kos.
Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa kerajaan sentiasa memastikan setiap perbelanjaan dilaksanakan secara berdisiplin menerusi proses verifikasi yang ketat bagi mengelakkan isu pembayaran berlebihan serta kelewatan yang boleh menjejaskan kelancaran kerja. -airtimes.my
