KUALA LUMPUR, 1 MAC – Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan mereka menggunakan sistem persenjataan dron kamikaze ala Shahed dalam serangan terhadap Tehran.
Perkara itu disahkan oleh Markas Pemerintahan Tengah AS (US CENTCOM) dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi mereka.
Pengesahan tersebut sekaligus mencatat sejarah baharu dalam doktrin pertempuran maritim apabila dron serangan sehala kos rendah buat pertama kali digunakan medan konflik.
Aset strategik yang direka meniru model reka bentuk dron Shahed buatan Iran itu telah dilancarkan secara rasmi di bawah kempen ketenteraan berskala besar terhadap Tehran yang dinamakan sebagai Operasi Epic Fury.
Menurut pihak CENTCOM, aset tersebut telah dikendalikan secara langsung oleh Task Force Scorpion Strike. Penggunaan sistem senjata ini menandakan satu anjakan doktrin yang sangat ketara bagi Pentagon. Tentera AS yang secara tradisinya amat bergantung kepada peluru berpandu berteknologi tinggi bernilai jutaan dolar kini mengadaptasi taktik serangan musuh untuk memberikan kelebihan taktikal di lapangan.
Penggunaan dron kamikaze ini membolehkan pasukan AS melancarkan taktik serangan berkerumun yang direka khas untuk membebankan radar dan melepasi sistem pertahanan udara musuh dengan kos yang jauh lebih efektif berbanding penggunaan peluru berpandu jelajah.
“Pasukan Petugas Scorpion Strike CENTCOM buat pertama kali dalam sejarah menggunakan dron serangan sehala dalam pertempuran semasa Operasi Epic Fury,
”Dron kos rendah ini, yang meniru model dron Shahed Iran, kini membawa pembalasan buatan Amerika,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh markas tersebut.
Dron yang diklasifikasikan sebagai Sistem Serangan Tempur Tanpa Pemandu Kos Rendah (Low-cost Unmanned Combat Attack System, LUCAS) sebelum ini diuji dan dilancarkan dari dek kapal tempur pesisir USS Santa Barbara, pada Disember tahun lalu. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Global #Dron
