PUTRAJAYA, 19 FEB – Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha menambah baik kuarters tentera dan polis yang uzur demi keselesaan anggota pasukan keselamatan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan, beberapa projek baik pulih sedang dirancang, dan sebahagiannya telah dilaksanakan.
“Perumahan polis kita dah ambil tindakan sepertinya (demikian juga) tentera, jadi kita akan lebih fokus. Tahun-tahun lepas RM1 bilion telah diberikan kepada kuarters tentera dan polis untuk baik pulih rumah yang sangat uzur,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di Kementerian Dalam Negeri, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Terdahulu, Saifuddin dalam ucapannya memohon agar Ketua Setiausaha Perbendaharaan melalui Belanjawan akan datang dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi tujuan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab membangunkan negara tidak terletak pada satu pihak sahaja.
“Tanggungjawab membangunkan negara ini bukan tanggungjawab satu pihak. Sama sepertimana kita tengok aspek keamanan, ada kata ini tanggungjawab polis saja, tak betul. Ini tanggungjawab semua,” katanya.
Sementara itu, Anwar mengingatkan agar Ramadan ini digunakan sebagai masa untuk memperkemaskan diri, memperbaiki prestasi, serta membetulkan segala kekurangan dan kelemahan diri dan bersama usaha memastikan negara menjadi lebih teratur.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain atas ketangkasan dan kecekapan mereka, namun mengingatkan supaya tidak leka.
“Saya bangga dengan prestasi tugas saudara-saudari setakat ini, tetapi jangan kita leka. Kita nilai diri kita sendiri… jangan kita merosot,” katanya. – airtimes.my
