GURUN, 16 JUN– Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) meninggal dunia selepas terlibat dalam insiden letupan semasa Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah, pagi tadi.
TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berlaku kira-kira pukul 10.57 pagi ketika pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Menurut kenyataan itu, dua anggota yang terlibat ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama RAJD.
Kedua-dua anggota mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, TDM memaklumkan kedua-duanya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jenazah kedua-dua anggota akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani bedah siasat.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua warga TDM itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
TDM memaklumkan, semua aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.
Sebarang perkembangan lanjut berhubung insiden itu akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TDM.
