KUALA LUMPUR, 5 MAC – Kerajaan Sri Lanka menegaskan pendirian neutral negaranya selepas kapal perang Iran, IRIS Dena, karam di Lautan Hindi susulan serangan torpedo kapal selam Amerika Syarikat (AS) berhampiran pantai selatan negara itu.
Insiden yang berlaku kira kira 40 batu nautika dari pantai Galle telah mencetuskan operasi mencari dan menyelamat besar besaran oleh pihak berkuasa Sri Lanka bagi mengesan mangsa yang terlibat.
Menteri Luar Sri Lanka, Vijitha Herath mengesahkan kapal Tentera Laut Iran tersebut membawa seramai 180 kru ketika kejadian berlaku.
Mangsa yang diselamatkan telah dibawa ke Hospital Pengajar Karapitiya di Galle untuk menerima rawatan perubatan lanjut. Nasib baki kru kapal berkenaan masih belum dapat dipastikan ketika operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di kawasan kejadian.
Kapal perang jenis frigat itu dilaporkan baru sahaja kembali dari perairan India selepas menyertai latihan tentera laut pelbagai hala MILAN 2026 yang dianjurkan Markas Tentera Laut Timur India di Visakhapatnam pada pertengahan Februari lalu.
IRIS Dena merupakan kapal perang buatan tempatan Iran yang dibina di limbungan Shahid Darvishi dengan berat sekitar 1,500 tan. Kapal tersebut dilengkapi sistem peluru berpandu antikapal, meriam tentera laut serta sistem pertahanan antipesawat bagi operasi tempur maritim.
Kapal berkenaan pernah mencatat sejarah apabila melengkapkan pelayaran sejauh kira kira 65,000 kilometer bersama Armada Ke 86 Tentera Laut Iran. Pelayaran tersebut dilaksanakan bagi menunjukkan kemampuan operasi maritim jarak jauh armada negara itu.
Jurucakap Tentera Laut Sri Lanka, Komander Buddhika Sampath berkata operasi mencari dan menyelamat digerakkan sejurus Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim menerima mesej kecemasan daripada kapal tersebut.
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengawal Pantai Sri Lanka serta Tentera Udara Sri Lanka. Pasukan penyelamat turut menemui beberapa mayat di lokasi kejadian yang dipercayai sebahagian kru kapal terbabit.
Menurut beliau, usaha mengesan mangsa yang masih hilang diteruskan walaupun keadaan laut yang mencabar di kawasan perairan terbabit. Pihak berkuasa turut memantau kawasan sekitar bagi memastikan tiada ancaman keselamatan tambahan.
Pada peringkat awal, pihak berkuasa Sri Lanka menolak laporan media antarabangsa yang mendakwa kapal tersebut tenggelam akibat serangan torpedo. Mereka menegaskan siasatan lanjut perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat kemudian mengesahkan sebuah kapal selam serang pantas milik Tentera Laut Amerika Syarikat telah melepaskan torpedo jenis Mark 48 ke arah kapal perang Iran tersebut.
Pengerusi Ketua Ketua Staf Bersama Amerika Syarikat, Jeneral Keane berkata tembakan torpedo itu mengenai sasaran dengan tepat lalu memusnahkan kapal tersebut di perairan antarabangsa.
Beliau menjelaskan kejadian itu merupakan rekod pertama kapal selam Amerika Syarikat berjaya menenggelamkan kapal tempur musuh secara langsung sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Menurut beliau, serangan itu merupakan sebahagian daripada kempen ketenteraan berskala besar Washington yang dikenali sebagai Operation Epic Fury. Operasi tersebut dilaporkan melibatkan serangan ke atas lebih 2,000 sasaran berkaitan aset strategik Iran di pelbagai lokasi.
Susulan kejadian yang berlaku berhampiran perairannya, kerajaan Sri Lanka menegaskan bahawa negara itu tidak akan memihak kepada mana mana pihak dalam konflik berkenaan.
Jurucakap Kabinet Sri Lanka, Nalinda Jayatissa berkata perkembangan teknologi ketenteraan moden menyebabkan konflik bersenjata boleh merebak ke kawasan yang sebelum ini dianggap selamat.
“Sri Lanka tidak seharusnya menjadi orang tengah dalam peperangan. Kita akan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan negara ini tidak terheret ke dalam krisis tersebut,” katanya dalam laporan portal kerajaan Sri Lanka.
Beliau turut memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat serta Iran berpotensi menjejaskan kestabilan ekonomi global serta keselamatan antarabangsa.
Menurut Nalinda, peperangan tidak pernah membawa kemajuan kepada tamadun manusia. Sebaliknya konflik bersenjata hanya akan meningkatkan penderitaan orang awam akibat persaingan kepentingan kuasa besar dunia.
Sehubungan itu, kerajaan Sri Lanka menggesa institusi antarabangsa yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua memainkan peranan lebih aktif bagi meredakan konflik yang semakin memuncak. Langkah tersebut penting bagi mengelakkan peningkatan angka korban nyawa pada masa hadapan. – airtimes.my
