KUALA LUMPUR, 31 Okt – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua Ahli Parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.
Beliau menegaskan, pada ketika ini, kepentingan rakyat menjadi keutamaan daripada segala kepentingan yang lain.
“Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang,
“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan terus mencari jalan terbaik untuk menguruskan krisis besar yang sedang dihadapi negara pada masa ini,
“Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan COVID-19 dan memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19, hari ini.
Menurutnya, dalam mengurus gelombang ketiga COVID-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara sehingga memberi kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.
“Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19. Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800 ribu orang telah kehilangan pekerjaan,
“Oleh itu, kerajaan akan membentangkan Bajet 2021 di Dewan Rakyat pada 6 November nanti yang akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata, insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara,
“Dalam Bajet yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban ditanggung oleh saudara dan saudari sekalian dalam menghadapi zaman yang sukar ini,”tambahnya.
Muhyiddin berkata, ketika ini kerajaan sedang mengimbangi antara kepentingan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup.
“Kita perketatkan SOP bagi kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, sukan dan lain-lain untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan memutuskan rantaian jangkitan,
“Tetapi pada masa yang sama, kita benarkan kegiatan ekonomi untuk diteruskan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat untuk memastikan perniagaan dan industri terus beroperasi,” ujarnya. –airtimes.my