BENTONG, 11 APR – Seorang anggota tentera darat meninggal dunia selepas 2 minggu bertarung nyawa akibat dipercayai dipukul dalam satu kejadian di sebuah kem tentera di Bentong, Pahang.
Bapanya mengesahkan bahawa anaknya, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, menghembuskan nafas terakhir di hospital Temerloh selepas menerima rawatan akibat kecederaan parah.Â
Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada penghujung Mac lalu di kem Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, apabila mangsa dipercayai diserang oleh seorang anggota lain.Â
Menurut laporan New Straits Times, mangsa meninggal dunia selepas hampir dua minggu dirawat di hospital akibat kecederaan serius yang dialaminya.
Sebelum ini, media melaporkan Seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) disyaki bertindak agresif dengan mencederakan beberapa anggota lain dalam satu insiden di Kem Bentong, melibatkan pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) pada 30 Mac lalu.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk anggota lain di bahagian muka serta perut.
Tindakan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap penugasan yang telah diarahkan kepada anggota-anggota tersebut.
Akibat kejadian tersebut, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD.
Susulan kejadian itu, seorang koperal berusia 37 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala mangsa sebelum ini berada dalam keadaan kritikal dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Kes kini disiasat oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta tindakan lanjut terhadap individu yang terlibat. -airtimes.my
