IPOH, 24 Okt – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditemui mati dengan satu kesan tembakan di bahagian kepalanya di tepi kuaters di dalam Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, mayat anggota polis berusia 29 tahun itu ditemui 6.15 pagi tadi di tepi rumahnya.
“Anggota polis itu ditemui mati dengan kesan satu tembakan yang menembusi kepalanya.
“Setakat ini, polis belum mengenal pasti senjata yang digunakan tetapi mengesyaki ia daripada senjata yang digunakan oleh anggota itu (ketika bertugas).
“Mangsa dipercayai baru dua hari melapor diri di Balai Polis Pekan Baru dan sebelum ini bertugas sebagai pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah serta Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7).
“Kita sedang menyiasat beberapa perkara terutamanya kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Pekan Baru di sini sebentar tadi.
Menurut Razarudin, polis sedang menyiasat punca kejadian dan masih terlalu awal untuk mengatakan mangsa telah bunuh diri atau mati dibunuh.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat.