KYIV, 15 DIS – Ukraine mendakwa berjaya menyerang sebuah kapal selam Rusia menggunakan dron bawah air yang dibangunkan secara tempatan, sekali gus menandakan perkembangan penting dalam landskap peperangan maritim moden.
Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) memaklumkan operasi itu dilaksanakan bersama Tentera Laut Ukraine dan menyasarkan sebuah kapal selam Project 636.3 Varshavyanka milik Rusia ketika berlabuh di pelabuhan Novorossiysk. Kelas kapal selam diesel elektrik tersebut dikenali oleh NATO sebagai Improved Kilo dan sering digelar “Black Hole” berikutan tahap akustiknya yang sangat rendah.
Menurut SBU, serangan itu menggunakan dron bawah permukaan dikenali sebagai Sub Sea Baby yang menghentam kapal selam berkenaan ketika berada di pangkalan tentera laut. Rakaman video yang dikeluarkan oleh agensi itu menunjukkan satu letupan kuat berlaku dari dalam air berhampiran jeti yang menempatkan kapal selam serta beberapa kapal lain.
Pihak berkuasa Ukraine mendakwa serangan tersebut menyebabkan kerosakan kritikal sehingga kapal selam berkenaan tidak lagi mampu melaksanakan operasi tempur.
Penasihat Presiden Ukraine, Alexander Kamyshin, berkata di platform X bahawa insiden itu merupakan kali pertama dalam sejarah sebuah dron bawah air berjaya meneutralkan kapal selam.
Kapal selam kelas Varshavyanka merupakan aset utama Armada Laut Hitam Rusia dan berkeupayaan membawa sekurang kurangnya empat peluru berpandu kruis Kalibr. Peluru berpandu tersebut telah digunakan secara meluas oleh Rusia dalam serangan ke atas bandar bandar Ukraine serta infrastruktur tenaga.
Ukraine menganggarkan nilai kapal selam itu sekitar USD 400 juta dan menyatakan kos penggantian boleh mencecah sehingga USD 500 juta berikutan sekatan antarabangsa yang sedang dikenakan ke atas Rusia. SBU turut memaklumkan dron Sub Sea Baby sebelum ini telah digunakan dalam beberapa operasi menyerang kapal tangki minyak Rusia. Dakwaan serangan ini menyerlahkan perubahan dinamik keselamatan di Laut Hitam.
Menurut pihak Ukraine, Rusia kini didakwa kehilangan satu daripada empat kapal selam yang ditempatkan di Novorossiysk, dengan tiga daripadanya merupakan platform pembawa peluru berpandu Kalibr. – airtimes.my
