KOTA KINABALU, 12 Jun – Seramai 20 anggota termasuk seorang pegawai daripada Rejimen 507 Askar Wataniah (Rej 507 AW) telah terlibat dengan pemasangan concertina wire di Kampung Likas, Kota Kinabalu, pada Khamis.
Penugasan ini adalah selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi penempatan tersebut mulai 10 Jun hingga 23 Jun 2021 berikutan berlakunya pertambahan kes jangkitan dan penyebaran COVID-19 di kawasan berkenaan.
Pihak Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam kenyataan berkata, formasi Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) telah diaturgerakan dalam membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaksanakan kawalan dan pemantauan ke atas kawasan berlakunya gelombang jangkitan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
“Kerjasama yang dijalinkan bersama agensi awam dan kerajaan negeri Sabah ini mampu meningkatkan tahap kebolehupayaan dan kepatuhan masyarakat dalam bekerjasama bersama petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 ini,
“Kesemua petugas mematuhi panduan amalan klinikal dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan semasa bekerja bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan penambahan kluster aktif yang baharu,” jelasnya.
Pemantauan berkala oleh pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Rej 507 AW ini akan berterusan sehingga 23 Jun 2021.
Terdahulu, kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan PKPD di Kampung Likas ini selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes yang amat ketara dalam tempoh singkat apabila sebanyak 22 kes positif COVID-19 direkodkan di lokaliti tersebut.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pelaksanaan PKPD ini bertujuan memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan dan memutuskan rantaian wabak berkenaan. -airtimes.my