KUALA LUMPUR, 18 SEPT – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar sebarang pembangunan di Kampong Bharu hendaklah meletakkan kepentingan orang Melayu sebagai keutamaan.
Baginda menegaskan, kawasan bersejarah itu bukan sekadar penempatan, namun simbol kebangkitan orang Melayu sejak lebih satu abad lalu.
“Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu,
“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu,” titah baginda dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin menegaskan, sebarang keputusan melibatkan masa depan Kampong Bharu mesti dibuat secara berhemah dengan mempertimbangkan sejarah asal penubuhan kawasan berkenaan.
Titah baginda, Kampong Bharu, yang ditubuhkan pada 1899 merupakan hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, yang kemudian diwartakan sebagai Malay Agricultural Settlement (M.A.S) pada 1900, khusus untuk penempatan masyarakat Melayu.
Baginda turut mengimbau pengalaman peribadi, termasuk pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu ketika ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, menjadi Raja Muda Selangor.
Malah, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga dilahirkan dan membesar di kawasan berkenaan.
Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menyaksikan peristiwa besar orang Melayu, termasuk Kongres Melayu SeMalaya pada 1946 yang membawa kepada penubuhan UMNO.
Kelab Sultan Sulaiman di kawasan itu juga pernah menjadi pusat perlindungan ketika tragedi 13 Mei 1969, selain menjadi lokasi latihan bola sepak Selangor sebelum adanya Stadium Merdeka.
Justeru, baginda menegaskan, warisan dan identiti Kampong Bharu perlu dipelihara kerana ia sebahagian daripada sejarah perjuangan orang Melayu di ibu negara.
“Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900. Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.
“Maka, sebarang usaha pembangunan di sini harus mengambil kira kelangsungan dan maruah orang Melayu, bukan hanya untuk masa kini tetapi juga untuk jangka panjang,” titah Sultan Selangor. -airtimes.my
#airtimes #malaysia #SultanSelangor #KampongBharu #Melayu #pembangunan
